NUR Shazrin bakal sertai Olimpik Paris 2024.
NUR Shazrin bakal sertai Olimpik Paris 2024.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) bersedia untuk mempersiapkan Nur Shazrin Latif dengan merancang melantik jurulatih khas dari luar negara menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MSA, Mazlan Othman perkara itu sudah pun dimaklumkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan khidmat jurulatih terbabit diharap dapat melonjakkan prestasi atlet berusia 25 tahun itu di pentas Olimpik nanti.

"Kami juga bercadang untuk meletakkan Shazrin berpangkalan di luar negara bagi memudahkan atlet berkenaan menyertai kejohanan persiapan terutama di benua Eropah," katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) di Bukit Jalil.

Ujarnya, ia perlu untuk membolehkan atlet pelayaran negara itu dapat melonjakkan prestasi walaupun pengendali tempatan Hafizi Roslee sudah menjalankan tugas dengan baik.

"Bagaimanapun perkara ini masih dalam penilaian MSN dan bergantung kepada prestasi di Kejuaraan Pelayaran Asia di Pattaya, Thailand minggu depan.

"Jadi kita perlukan input luar untuk memastikan Shazrin akan dapat sekurang-kurangnya... kalau tak dapat pingat pun berada di kelompok 15 terbaik (di Paris).

"Kita juga mencadangkan supaya dia berpangkalan di luar kerana Olimpik pun tidak lama lagi, jadi pada pandangan kita... kejohanan (persiapan) akan banyak dianjurkan di luar negara jadi lebih baik dia berpusat di luar negara," kata Mazlan.

Dalam pada itu, Mazlan turut memaklumkan yang pihaknya menjangkakan beberapa lagi atlet dari sukan berkenaan akan melayakkan diri ke Paris seperti Khairulnizam Mohd Afendy dan gandingan Muhammad Fauzi Kaman Shah-Juni Karimah Noor Jamali turut mampu melayakkan diri di Pattaya nanti.

Pada temasya di Tokyo 2020, sukan pelayaran mempunyai empat wakil iaitu Khairulnizam, Nur Shazrin, Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 4:20 PM