ANIQ ketika meraih emas di Sukan Komanwel Birmingham 2022. -FOTO NSTP
ANIQ ketika meraih emas di Sukan Komanwel Birmingham 2022. -FOTO NSTP
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan mendapat motivasi tambahan untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris tahun hadapan selepas disenaraikan dalam program Road To Gold (RTG).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh merangkap Pengerusi Jawatankuasa program RTG berkata, atlet berusia 21 tahun itu antara muka baharu dipilih selepas menepati kriteria untuk berada dalam program berkenaan.

"Aniq kini berada di kedudukan ke-10 dalam ranking Olimpik yang juga sebahagian daripada kriteria RTG dan hanya berusia 21 tahun pada masa ini.

"Dengan sokongan yang betul, Aniq mempunyai potensi besar untuk memperbaiki catatan peribadi terbaiknya iaitu 291 kilogram (kg), kurang 3kg dengan pencapaian pemenang pingat gangsa Olimpik 2020 iaitu 294kg," kata Menteri Belia dan Sukan yang juga Pengerusi jawatankuasa program RTG, Hannah Yeoh, hari ini.

Keputusan itu turut didorong dengan kejayaan Aniq merangkul gangsa dalam acara clean&jerk untuk kategori 61kg di Kejohanan Angkat Berat Dunia 2023 di Riyadh, Arab Saudi dengan angkatan 166kg sekali gus melonjak ranking untuk berada dalam kelompok terbaik Olimpik.

Atlet kelahiran Johor itu turut berjaya memecahkan rekod kebangsaan bagi kategori 61kg selepas melakukan angkatan 125kg dalam acara snatch untuk mengumpul jumlah angkatan keseluruhan 291kg.

Terdahulu Aniq turut berjaya meraih pingat perak di Kejohanan Dunia di Uzbekistan pada 2021 dalam acara yang sama untuk kategori 55kg.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 6:17 PM