(Dari kiri), Aira Azman, Ng Eain Yow, Aifa Azman dan Rachel Arnold bergambar bersama pingat emas Sukan Asia yang dimenangi mereka.
(Dari kiri), Aira Azman, Ng Eain Yow, Aifa Azman dan Rachel Arnold bergambar bersama pingat emas Sukan Asia yang dimenangi mereka.
Amirul Fazli Zulkafli

Kuala Lumpur: Peluang untuk melihat skuasy dipertandingkan di Sukan Olimpik buat kali pertama nampak cerah apabila penganjur temasya 2028 iaitu Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), menyenaraikan sukan itu bersama acara sukan lain.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mej (B) S Maniam berkata, apabila tuan rumah mencadangkan sukan untuk dipertandingan di Olimpik, biasanya ia akan diterima dan itu satu perkembangan yang baik.

"Saya sangat gembira apabila dimaklumkan mengenai perkembangan ini kerana sudah lama kita cuba senaraikan skuasy di Olimpik, ini berita bagus dan saya amat gembira.

"Saya rasa begitu sebab tuan rumah mencadangkan lima sukan untuk masuk Olimpik, jadi saya rasa itu adalah langkah pertama untuk masuk Olimpik dan langkah itu sangat mustahak," katanya.

Terdahulu, Jawatankuasa Penganjur LA28 mencadangkan lima sukan untuk disenaraikan ke Sukan Olimpik Los Angeles pada 2028.

Ia adalah baseball-softball, kriket, bola sepak bendera (versi bola sepak Amerika), lacrosse dan skuasy.

Keputusan mengenainya akan ketahui minggu hadapan sama ada lima sukan itu diluluskan atau sebaliknya.

Mengulas mengenai potensi untuk memenangi pingat sekiranya skuasy disenaraikan, Maniam berkata, atlet Malaysia perlu berada dalam kedudukan 10 terbaik dunia dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Saya rasa S Sivasangari, Aifa Azman dan Ng Eain Yow mempunyai potensi tinggi untuk berada di ranking terbaik dunia.

"Kalau mereka berada di kedudukan 10 terbaik dunia, maka cerah lah peluang untuk kita menang pingat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 3:57 PM