MUHAMMAD Malik Ahmad Tobias (kanan) bersama pemenang dalam Kejohanan Varsity Track and Field (VTF) Sirkit Ketiga yang berlangsung di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN
MUHAMMAD Malik Ahmad Tobias (kanan) bersama pemenang dalam Kejohanan Varsity Track and Field (VTF) Sirkit Ketiga yang berlangsung di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN
Rosman Shamsudin


Tanjung Malim: Seramai 352 atlet Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) menyertai Kejohanan Varsity Track and Field (VTF) 2023 sirkit ketiga selama tiga hari bermula semalam sehingga esok di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah.

Ketua Penyelaras, Muhamad Malik Ahmad Tobias, berkata, penganjuran kejohanan VTF yang memasuki tahun kedua dijangka terus mampu memberi impak positif dalam dunia sukan olahraga tanahair.

Katanya, ia sejajar dengan salah satu objektif penganjuran yang mahu menjadikan kejohanan terbabit sebagai pentas melahirkan atlet olahraga negara bertaraf antarabangsa.

"Buktinya,penganjuran kejohanan VTF pada tahun pertama menyaksikan seramai 24 atlet telah dipilih mewakili negara dalam Sukan Sea di Kemboja yang berlangsung pada Mei lalu.

"Malah,setiap kali berlangsung kejohanan VTF juga terdapat rekod baharu yang berjaya diperbaharui oleh atlit dan ini memberi impak dan perkembangan positif dalam sukan olahraga IPT dan negara," katanya ketika ditemui Stadium UPSI, dekat sini.

Kejohanan berkenaan dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Pusat Kecemerlangan Sukan Olahraga Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sebanyak 40 acara dipertandingkan dalam kejohanan VTF sirkit ketiga dan terdapat dua acara tidak dipertandingkan termasuk acara lompat bergalah bagi lelaki dan wanita serta dekathlon.

Sebelum ini, sirkit kejohanan VTF diadakan mengikut zon iaitu zon selatan (VTF 1) di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) kemudian zon timur (VTF 2) di Stadium Darul Makmur, Pahang dan kini berlangsung zon utara (VTF3) di UPSI dan kemuncak kejohanan berkenaan dikenali Grand Final bakal berlangsung di Lembah Kelang pada penghujung Oktober depan.

Dia yang juga bekas atlet kebangsaan berkata, kejohanan berkenaanyang anjurkan secara berkala dan latihan bersistematik yang dijalani oleh atlit sepanjang kejohanan mampu meningkatkan prestasi atlet dalam kejohanan terbabit.

"Inilah masa dan pentas atau medan untuk atlet tunjuk kemampuan sebenar dalam acara yang disertai sama ada atlit kebangsaan mahu pun atlit yang mewakili IPT masing-masing selepas berlatih dengan konsisten.

"Saya berharap lebih banyak rekod dapat diperbaharui atau dipecahkan sama ada rekod kejohanan atau nasional dalam kejohanan VTF sirkit ketiga ini," katanya.

Muhamad Malik berkata, dalam kejohanan VTF sirkit ketiga turut disertai atlit kebangsaan yang bakal menyertai Sukan Asia di Hangzhou, China termasuklah Jonathan Nyepa,Azreen Nabila Alias, Andri Andura Anuar dan Nur Sarah Adi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 6:41 PM