ANTARA pemenang di Kejohanan Varsity Track & Field (VTF) 2023 yang berlangsung di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). FOTO Nazri Abu Bakar
ANTARA pemenang di Kejohanan Varsity Track & Field (VTF) 2023 yang berlangsung di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: Kejohanan Varsity Track & Field (VTF) 2023 yang kini berlangsung di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dilihat perkembangan sihat dalam pembentukan atlet negara selepas atlet Insititut Pendidikan Tinggi (IPT) paling ramai berada dalam senarai akhir Sukan Sea Kemboja.

Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Pekan Ramli berkata, situasi terbabit jelas menyemarakkan semangat atlet lain untuk terus memberi cabaran kepada pesaing mereka sekali gus menjadikan kejohanan lebih kompetitif.

Katanya, lebih menarik beberapa atlet baharu turut menyerlah dalam kejohanan berkenaan yang jelas memberi gambaran ramai potensi baharu mampu terus menyerlah dengan latihan dan pendedahan yang perlu lebih agresif.

Menurutnya, walaupun kebanyakan kontinjen tidak menghantar penyertaan dengan bilangan yang besar berikutan masih di peringkat awal dan penyusunan bajet, namun mereka yang hadir memiliki bakat semula jadi yang positif.

"Apapun saya yakin selepas VTF 1 ini, penyertaan akan lebih meningkat membabitkan selain zon Timur (VTF 2) di Stadium Darul Makmur, zon Utara (VTF3) di Stadium Batu Kawan Pulau Pinang dan Grand Final di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kelak.

"Justeru, lebih ramai atlet berpeluang memperaga aksi mereka dan tidak mustahil lebih ramai bakat baru untuk berada dalam senarai atlet negara yang ketika ini membabitkan 17 dalam kategori elit dan 8 dalam kategori pelapis,"katanya.

Hari kedua menyaksikan Universiti Putra Malaysia (UPM) masih mengungguli saingan dengan meraih 16 emas 10 perak dan 5 gangsa sementara tangga kedua milik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan 3 emas dan masing-masing 6 perak serta gangsa.

Penguasaan UPM berkenaan jelas sukar dicabar 27 kontinjen lain yang tetap berusaha gigih untuk memberi cabaran kepada kontinjen berkenaan pada hari terakhir lewat petang semalam.

Sementara itu pengurus UPM, Shahrulnizar Nurhalim berkata, tiada sasaran pingat buat atlet dalam kejohanan berkenaan namun tetap berusaha mempertahankan kejuaraan dalam edisi tahun lalu.

Katanya, pada edisi 2022 UPM juara dalam keempat-empat sirkit dan grandfinal sekali gus sudah pasti kali ini mahu mengulangi pencapaian sama sehingga ke grand final kelak.

Jelasnya, walaupun atlet baharu sahaja tamat peperiksaan namun sempat menjalani latihan selama tiga minggu bagaimanapun mereka mampu menunjukkan prestasi yang amat membanggakan, biarkan beberapa atlet baharu tidak dapat turut serta kali ini.

Beliau berkata, kebanyakan pingat turut disumbang kira-kira 10 atlet yang bakal mewakili negara di Sukan Sea Kemboja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 4:17 PM