KETUA Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail (kanan) ketika berkunjung di Payang Walk, malam tadi. FOTO Ghazali Kori
KETUA Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail (kanan) ketika berkunjung di Payang Walk, malam tadi. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Saya rasa perkara itu (kemelut) Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2023 di negeri pembangkang tidak menepati apa yang sebenarnya berlaku.

"Malah kita mendapat kerjasama sebaiknya daripada semua empat negeri pembangkang itu (Terengganu, Kedah, Kelantan, Perlis), malah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 pun akan melibatkan empat negeri berkenaan,"demikian reaksi Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berhubung kemelut sambutan HSN 2023 di empat negeri pembangkang.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Payang Walk, Kuala Terengganu selepas selesai Majlis Pengenalan 22 Pasukan dan Penaja LTdL 2023 di Dataran Panoramik, dekat sini, malam tadi yang turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan pihak MSN tidak berdepan masalah untuk bekerjasama dengan empat negeri berkenaan bagi menjayakan aktiviti kerajaan persekutuan itu.

"Kita tiada masalah serta tiada isu untuk bekerjasama dengan negeri berkenaan, lagipun kita tidak pasti perkara ini betul atau tidak, arahan ini kita tidak terima.

"Jadi pandangan saya perlu sama dan tiada perbezaan sambutan HSN 2023 di empat negeri berkenaan, sambutlah dengan penuh semangat kesukanan yang tinggi kerana ia adalah agenda nasional bagi membudaya dan merakyatkan sukan,"katanya.

Terdahulu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan (HSN) 2023 tetap akan diteruskan di negeri pembangkang yang dikendalikan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi melancarkan pengurusan dan pentadbiran pelaksanaan membabitkan program serta aktiviti Kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar dan EXCO Belia dan Sukan negeri berkenaan turut dijemput bagi memeriahkan penganjuran program di peringkat negeri masing-masing tanpa mengira fahaman politik demi membudaya dan merakyatkan sukan.

Sebelum ini Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mendakwa EXCO sukan di empat kerajaan negeri ditadbir Perikatan Nasional (PN) tidak lagi akan mempengerusikan HSN peringkat negeri seperti sebelum ini.

Katanya urusan di Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah itu akan diserahkan kepada ICU JPM dan menyifatkan perkara itu sebagai politik yang tidak sihat.

HSN 2023 dijadualkan berlangsung dari 13-15 Oktober depan dengan sambutan peringkat kebangsaan bakal diadakan pada 14 Oktober di pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 12:07 PM