AKSI Djokovic di pusingan keempat Terbuka AS. -FOTO AFP
AKSI Djokovic di pusingan keempat Terbuka AS. -FOTO AFP
AFP

New York: Novak Djokovic menewaskan pemain Croatia, Borna Gojo straight set untuk menempah tempat ke suku akhir Terbuka AS.

Juara 23 kali Grand Slam itu mengatasi pemain ke-105 dunia, Gojo 6-2, 7-5, 6-4 dalam masa 2 jam 26 minit di gelanggang Stadium Arthur Ashe.

Djokovic kini akan menentang pilihan kesembilan dari Amerika, Taylor Fritz Rabu ini dalam usahanya melebarkan rekod kejuaraan Grand Slam ke-24.

Bintang Serbia berusia 36 tahun itu menerima tentangan sengit pada pusingan ketiga Jumaat lalu, bangkit daripada defisit dua set sebelum menewaskan rakan senegara, Laslo Djere dalam pertarungan lima set.

"Saya tahu Borna mempunyai permainan yang hebat. Pukulannya padu, servis dan pukulan depan adalah senjata yang besar. Bergerak dengan cukup baik untuk lelaki yang bertubuh tinggi," kata Djokovic selepas mara ke suku akhir Terbuka AS ke-13.

"Kunci untuk perlawanan adalah untuk mencuba dan meneutralkan servisnya. Hanya gembira untuk melepasi perlawanan ini dengan straight set."

Sementara itu, Djokovic menantikan cabaran berdepan Fritz dalam aksi lapan terakhir pada hari Rabu ini.

Fritz adalah salah seorang daripada tiga pemain Amerika yang layak ke suku akhir bersama-sama dengan Frances Tiafoe dan Ben Shelton, kali pertama sejak 2005 tiga pemain Amerika mara ke peringkat lapan terakhir di Terbuka AS.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 10:44 AM