IGA membalas pukulan Sofia Kenin pada aksi pusingan pertama Terbuka Australia, hari ini. FOTO REUTERS
IGA membalas pukulan Sofia Kenin pada aksi pusingan pertama Terbuka Australia, hari ini. FOTO REUTERS
AFP

Melbourne: Iga Swiatek melepasi cabaran sengit bekas juara Terbuka Australia, Sofia Kenin untuk mara ke pusingan kedua di Melbourne, hari ini.

Pemain wanita nombor satu dunia dari Poland itu menang 7-6 (7/2), 6-2 ke atas pemain yang ditewaskannya untuk merangkul gelaran Grand Slam pertama di Terbuka Perancis pada 2020.

Iga, 22, dua kali bangkit dalam aksi set pertama yang sengit selama 68 minit sebelum meningkatkan permainan untuk menang mudah pada set kedua.

Juara empat kejohanan utama itu kini memenangi 17 perlawanan berturut-turut dan akan berdepan pemenang antara pemain Amerika Syarikat (AS), Danielle Collins atau bekas juara, Angelique Kerber.

"Sangat gembira, bukan mudah untuk memenangi perlawanan pertama terutama Grand Slam pertama pada awal musim," kata Iga yang muncul juara tiga kali di Roland Garros dan sekali di Terbuka AS.

"Bukan mudah mencari rentak pada permulaan permainan dan saya rasa agak sedikit tersasar dan Sofia pula bermain dengan baik untuk memberikan saingan.

"Saya gembira kerana mampu mengharunginya pada set kedua."

Bekas juara Terbuka AS, Sloane Stephens turut melepasi halangan pusingan pertama apabila menewaskan pemain tuan rumah, Olivia Gadecki 6-3, 6-1.

Bagi acara lelaki, pilihan ke-11, Casper Ruud menewaskan Albert Ramos-Vinolas 6-1, 6-3, 6-1, manakala pilihan ke-19 dari Britain, Cameron Norrie, menundukkan pemain Peru, Juan Pablo Varillas dengan straight set.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 1:07 PM