NOVAK DJOKOVIC
NOVAK DJOKOVIC
AFP

NEW YORK: Novak Djokovic melaksanakan misinya dengan baik untuk membuat pertembungan epik dengan Roger Federer pada suku akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS), selepas menewaskan pemain  bukan pilihan, Joao Sousa, awal pagi tadi.

Djokovic yang menamatkan kemarau gelaran selama 54 minggu ketika menjuarai Wimbledon akan menentang pemenang perlawanan sama ada juara Terbuka AS lima kali, Federer atau John Millman.

Jika Federer berjaya menyingkirkan pemain ranking ke-55 dunia dari Australia itu, ia akan menjadi perhitungan paling awal membabitkan kedua-dua pemain dalam aksi Grand Slam sejak 2007.

Ketika itu, Federer menewaskan Djokovic untuk mara ke suku akhir Terbuka Australia.

Djokovic yang berkongsi rekod kemenangan 6-6 dengan Federer di Flushing Meadows termasuk kemenangan pada aksi final 2011 dan 2015 berkata, dia lega berjaya mengatasi Sousa yang juga pemain ranking ke-68 dunia secara straight set.

“Saya sangat gembira kerana memenangi perlawanan ini straight set,” kata Djokovic yang mendapatkan penilaian perubatan pada awal set ketiga, tetapi kembali memastikan kemenangan dalam tempoh dua jam.

Sementara itu, naib juara edisi 2014, Kei Nishikori turut mara ke suku akhir selepas menewaskan pemain Jerman, Philipp Kohlschreiber 6-3, 6-2, 7-5.

“Saya cukup bertuah dapat menamatkan perlawanan dalam tiga set. Cuaca sangat panas biarpun ia tidak kelihatan sangat panas tetapi ia memberi kesan kepada saya,” katanya yang akan berdepan pemain Croatia, Marin Cilic dalam perebutan tempat ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 8:12 AM