NORZA (tengah) pada sidang media mesyuarat pemilihan atlet di Wisma MOM, semalam. FOTO Owe Ah Chun
NORZA (tengah) pada sidang media mesyuarat pemilihan atlet di Wisma MOM, semalam. FOTO Owe Ah Chun
Aida Adilah Mat


MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) memberi amaran kepada mana-mana persatuan sukan untuk bertanggungjawab sepenuhnya terhadap atlet masing-masing sekiranya berhasrat menghantar atlet menyertai temasya Sukan SEA Filipina November ini.

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menegaskan, tugas mencari dana atau menghantar atlet bertanding ke temasya berkenaan adalah di bawah tanggungjawab persatuan masing-masing.

Mengambil contoh atlet yang berada di bawah kategori B2 iaitu persatuan yang bukan di bawah MOM, mereka perlu mencari dana sendiri dan MOM tidak akan menanggung sebarang perbelanjaan atau memulangkan semula wang kepada mereka biarpun berjaya meraih pingat emas.

Norza yang ditemui pada sidang media mesyuarat pemilihan atlet di Wisma MOM semalam berkata, beberapa persatuan adalah sukan baharu dan kebenaran menyertai temasya dwi tahunan itu adalah berdasarkan semangat kesukanan.

“Untuk kategori B iaitu mereka yang menggunakan dana sendiri ini ada dua. Iaitu B1 dan B2. B1 adalah mana-mana atlet yang meraih emas atau perak, kos pembiayaan mereka akan dipulangkan manakala yang meraih gangsa akan mendapat 50 peratus bayaran semula.

“B2 pula adalah sukan baharu yang bukan ahli gabungan MOM, seperti hoki air. Ini antara sukan yang MOM benarkan bertanding atas semangat kesukanan dan persahabatan jadi mereka dibenarkan bertanding di Sukan SEA.

“Tapi, saya tidak mahu atlet di bawah kategori B ini dibebankan dengan mencari dana sendiri daripada pihak luar. Atlet adalah tanggungjawab sepenuhnya persatuan masing-masing,” katanya.

Norza memaklumkan sebanyak 51 persatuan sukan sudah menyenaraikan barisan atlet yang layak untuk bertanding.

Daripada jumlah itu seramai 394 atlet lelaki - 193 (kategori A) 201 (kategori B) manakala 287 atlet wanita - 147 (kategori A) dan 140 (kategori B).

Jumlah atlet berkenaan diadili sepenuhnya Jawatankuasa Pemilihan Atlet ke Sukan SEA Filipina yang dinilai lima panel diketuai Norza selain Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md Ramli.

Manakala dua ahli bebas adalah bekas Setiausaha Agung MOM, Datuk Sieh Kok Chi serta bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Wira Mazlan Ahmad yang diumumkan sebagai pengganti Tan Sri Dr M Jegathesan.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 6:01 AM