TAN Zhi Yan. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
TAN Zhi Yan. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Fabian Peter


Hangzhou: Hari ini menjadi satu lagi hari yang suram buat kem wushu Malaysia di pentas Sukan Asia Hangzhou.

Tan Zhi Yan, yang bertanding dalam gabungan disiplin taijiquan-taijijian lelaki, hanya mampu menduduki tempat ketujuh secara keseluruhan.

Terdahulu, bekas juara Sukan Sea itu mencatat 9.733 mata dalam acara taijiquan, sebelum memperoleh 9.716 mata dalam taijijian dengan mengumpul jumlah keseluruhan 19.449.

China meneruskan dominasi dengan memenangi satu lagi pingat emas menerusi Gan Haonan (19.666), diikuti atlet Hong Kong, Samuel Hui (19.493) dan Jones Llabres dari Filipina (19.486).

Masih tanpa pingat dari Sukan Asia tahun ini, tumpuan kini akan beralih ke arah bekas juara dunia, Tan Cheong Min.

Anak kelahiran Melaka berusia 25 tahun itu akan bertanding di Pusat Sukan Xiaoshan Guali, esok dalam final gabungan nanquan-nandao wanita.

Memenangi dua acara itu di Sukan Sea Phnom Penh pada Mei lalu, harapan tinggi digalas Cheong Min untuk menamatkan kemarau pingat selama 13 tahun Malaysia di Sukan Asia.

Turut bertanding esok adalah Calvin Lee yang akan bersaing dalam final acara gabungan nanquan-nangun lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 10:04 PM