AKSI Azizulhasni dalam acara pecut lelaki elit akhir pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia di Velodrom Nasional, baru-baru ini. FOTO AZRUL EDHAM
AKSI Azizulhasni dalam acara pecut lelaki elit akhir pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia di Velodrom Nasional, baru-baru ini. FOTO AZRUL EDHAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Sandaran emas di temasya Sukan Olimpik, Datuk Azizulhasni Awang berkata kedudukan ranking bukan sesuatu yang terlalu difikirkannya ketika ini.

Namun jaguh berbasikal trek negara itu mengakui ia mampu memberi suntikan semangat untuk terus memburu tempat ke temasya Olimpik Paris.

Jelasnya, kedudukan ranking itu sesuatu yang perlu untuk menentukan di mana kedudukan seorang pelumba itu dalam pemburuan tempat ke Paris.

"Secara jujurnya, saya tidak kisah sangat mengenai ranking saya. Tapi ia bagus untuk bagi motivasi dan semangat untuk saya dan Malaysia memandangkan tahun lalu saya 'skip' keseluruhan musim.

"Dalam tempoh setahun ini saya dapat mengejar semula dan berada di kelompok tiga terbaik dalam acara keirin dan keenam dalam acara pecut.

"Walaupun saya tidak terlalu kisah mengenai ranking tapi sebenarnya kita boleh tengok kedudukan kita, selesa atau tidak dan apa yang diraih saya kini menunjukkan bahawa saya berada di landasan yang tepat ke Olimpik," katanya.

Khamis lalu, Azizul berkongsi berita gembira apabila rankingnya untuk acara keirin melonjak di kedudukan ketiga dunia dan keenam dunia bagi acara pecut individu.

Menerusi semakan di Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), untuk acara keirin, kedudukan Azizulhasni naik tujuh anak tangga manakala bagi acara pecut individu, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu melonjak 13 anak tangga dan ia dilihat sesuatu yang memberangsangkan.

Berita itu diumumkan selepas pemenang pingat perak Olimpik Tokyo dalam acara keirin itu mengungguli Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 di Velodrom Nasional, Nilai minggu lalu, dengan mencipta sensasi apabila meraih dua pingat emas bagi acara keirin dan pecut.

Kejayaan terbaru itu menyaksikan dia meraih keseluruhan 12 emas sepanjang penyertaannya di ACC sejak kali pertama pada 2007, sekali gus berstatus legenda Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 12:43 PM