AZIZULHASNI bersama ahli keluarganya selepas memenangi emas acara keirin di ACC 2023 di Velodrom Nasional, Nilai, semalam. FOTO AZRUL EDHAM
AZIZULHASNI bersama ahli keluarganya selepas memenangi emas acara keirin di ACC 2023 di Velodrom Nasional, Nilai, semalam. FOTO AZRUL EDHAM
Zulkarnain Azman


Nilai: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang memberi bayangan Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023, mungkin menjadi pentas terakhirnya di kejohanan itu dan tidak akan menyertai pada edisi 2024 di India.

Menurut pelumba yang mendapat julukan The Pocket Rocketman itu, keputusan itu bagi mengurangkan risiko dirinya untuk terkena jangkitan Covid-19, sekali gus memastikan cergas sepenuhnya sebelum Sukan Olimpik Paris 2024.

"Saya tak mahu dijangkiti Covid-19 kerana apabila pasukan negara balik dari kejohanan itu tahun lalu, hampir 95 peratus daripada mereka positif.

"Saya tidak mahu ambil risiko itu kerana tempoh ke Paris 2024 sangat dekat, kira-kira lima atau enam bulan, jika kedudukan ranking saya sudah OK, saya tidak mahu sertai (ACC 2024).

"Sebelum ACC 2023, saya berada dalam 10 teratas acara keirin dan selepas kejohanan ini, mungkin naik ke kedudukan kelapan atau enam. Jika sudah masuk lima teratas, saya akan langkau ACC 2024.

"Buat masa ini, kedudukan saya dalam acara keirin agak selesa. Cuma pecut belum benar-benar selamat, tapi masih ada Kejohanan Dunia (pada Ogos ini), kalau boleh saya nak langkau sahaja ACC 2024," katanya.

Azizulhasni mencipta sensasi apabila meraih emas keduanya di ACC 2023 dalam acara keirin, sekali gus menjadikan koleksi kilauan emas di peringkat Asia kepada 12 secara keseluruhan sejak 2007.

Jumaat lalu, dia memenangi pingat emas acara pecut termasuk memecahkan rekod sendiri ketika peringkat kelayakan.

Sementara itu, ketua jurulatih basikal trek negara, John Beasley nyata gembira dengan prestasi anak buahnya sambil menyifatkannya sebagai istimewa memandangkan ia mungkin menjadi persembahan terakhir Azizulhasni di ACC.

"Masih ada satu lagi ACC dengan Azizulhasni di New Delhi pada Februari (2024). Bagi saya, ini adalah sesuatu yang istimewa kerana yang terakhir buatnya di laman sendiri," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2023 @ 1:11 PM