AZIZULHASNI tidak puas hati dengan janji MSN.
AZIZULHASNI tidak puas hati dengan janji MSN.
Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) kekal bersikap profesional dan terbuka menerima kritikan daripada mana-mana atlet termasuk jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang.

Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Suhardi Alias berkata, pihaknya mengambil sikap berlapang dada dengan segala kritikan dalam usaha untuk memperbaiki prestasi setiap atlet.

"Sebenarnya MSN berlapang dada menerima semua teguran dan pandangan daripada atlet untuk membantu memperbaiki prestasi mereka.

"Kalau ada apa-apa luahan yang dirasakan memerlukan penambahbaikan maka kita akan membantu menambahbaik program supaya semua atlet menerima sistem sokongan terbaik untuk mereka bertanding di Olimpik nanti.

"Kita berlapang dada dan menerima sebarang pandangan untuk memperbaiki prestasi atlet," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas luahan Azizulhasni menerusi akaun media sosialnya yang menyatakan setiap perkara dijanjikan MSN untuk memenuhi permintaan dengan menyediakan fasiliti dan sistem sokongan terbaik di Malaysia sejak meninggalkan Melbourne, Australia, hujung tahun lalu hanya tinggal 'bulan dan bintang'.

Azizulhasni yang turut digelar The Pocket Rocketman berkata, pihaknya sudah mengadakan beberapa siri perjumpaan dan perbincangan bersama pihak berkaitan namun jawapan diterima cukup mengecewakan sekali gus menganggu persiapannya untuk mengharungi Olimpik Paris tahun depan.

Susulan daripada itu, Penyelaras Projek Road to Gold (RTG), Datuk Stuart Ramalingam membuat kenyataan balas dan memaklumkan isu berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa RTG yang akan diadakan dalam tempoh dua minggu lagi dan perkara sama dimaklumkan oleh Suhardi.

"Dalam masa dua minggu lagi, mesyuarat Jawatankuasa RTG akan diadakan bagi memperhalusi isu dihadapi bagi membantu atlet memudahkan persediaan mereka ke Sukan Olimpik Paris," kata Suhardi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 9:35 PM