Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang bukan meminta perkara 'bukan-bukan' kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.
Sebaliknya, Azizulhasni atau lebih mesra dengan panggilan The Pocket Rocketman mahu mendapatkan tempat tinggal selesa serta pengangkutan untuk berulang-alik ke tempat latihan di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.
"Saya hanya mengetahui perkara ini (kelulusan daripada pihak Road To Gold) melalui berita dan saya masih belum dapat perincian lagi mengenai permintaan daripada pihak mereka, mungkin perjumpaan saya bersama koordinator RTG, (Datuk) Stuart (Ramalingam), baru saya akan dapat gambaran lebih jelas.
"Bila saya balik ke Malaysia, saya minta bantuan dari segi penginapan, rumah. Ini kerana mengikut konsep asal MSN (Majlis Sukan Negara), atlet akan duduk di asrama, tetapi saya dalam situasi berbeza kerana sudah berkeluarga, tambahan di sana (Melbourne), saya dapat elaun rumah dan elaun makan," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Olimpik 2023 Sekolah Sukan Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Majlis disempurnakan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria itu turut dihadiri Olimpian negara iaitu bekas jaguh lompat tinggi, Lee Hup Wei; bekas atlet lompat bergalah Roslinda Samsu dan bekas juara dunia dalam acara terjun, Cheong Jun Hoong.
Terdahulu, Azizulhasni membuktikan dia berhak untuk mendapat semua keistimewaan dalam program elit sukan negara apabila merampas semula pingat emas acara keirin dan pecut di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 tempoh hari, hanya setahun selepas menjalani pembedahan jantung.
Sementara itu, Azizul mengingatkan atlet muda yang disenaraikan dalam program RTG untuk tidak terlalu selesa dengan bantuan diberikan kerana mereka menggalas harapan jutaan rakyat Malaysia di Paris 2024.
"Nasihat saya, jangan enak dibuai mimpi dengan anda semua dapat kerana macam saya dahulu bermula dengan kosong.
"Program basikal dahulu tidak mendapat bantuan yang penuh, tetapi kami tetap berusaha untuk berikan keputusan baik dan dari situ kami dapat yakinkan mereka untuk beri kami bantuan," katanya.