SKUAD kriket wanita bersama pingat gangsa dimenangi. FOTO Persatuan Kriket Malaysia
SKUAD kriket wanita bersama pingat gangsa dimenangi. FOTO Persatuan Kriket Malaysia
BERNAMA

Phnom Penh: Skuad kriket wanita negara berjaya mempertahankan pingat gangsa dalam acara Twenty20 (T20) selepas menewaskan jiran, Singapura, dengan lapan wiket, pada temasya Sukan Sea kemboja 2023, di sini, hari ini.

Dalam penentuan pingat gangsa di AZ Group Cricket Oval, Malaysia, yang tewas memulakan perlawanan, berjaya melakukan 54 larian dalam 9.1 overs manakala Singapura mencatat 51 larian dalam 20 overs.

Ini gangsa kedua berturut-turut Malaysia di sini selepas mereka mengatasi Kemboja dengan 10 wiket dalam 50-overs, Jumaat lalu.

Sementara itu, Thailand mempertahankan pingat emas apabila mengalahkan Indonesia dengan 40 larian pada perlawanan akhir.

Skuad wanita negara akan berpeluang menghadiahkan gangsa 'hatrik' apabila berdepan tuan rumah, Kemboja, sekali lagi, kali ini dalam acara T10, esok.

Pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, skuad kriket wanita negara meraih gangsa sulung dalam Sukan Sea selepas menewaskan Singapura dengan lapan wiket.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 9:27 PM