KAPTEN Malaysia, Mohd Anwar Arudin melakukan pukulan bola pada aksi kriket lelaki menentang Indonesia di Sukan SEA KL2017 di Kinrara Oval. FOTO Aswadi Alias.
KAPTEN Malaysia, Mohd Anwar Arudin melakukan pukulan bola pada aksi kriket lelaki menentang Indonesia di Sukan SEA KL2017 di Kinrara Oval. FOTO Aswadi Alias.
Devinder Singh

Kuala Lumpur: Masih didorong rasa gembira selepas memenangi emas kategori 50-overs, skuad kriket lelaki kebangsaan kini memburu emas berganda apabila berdepan Singapura di final Twenty20 di Kinrara Oval, hari ini.

Kapten Anwar Arudin (gambar) berjaya mempamer kecemerlangan selepas melakukan dua pukulan century - dalam acara 50-overs dan acara lebih pendek.

Kehebatannya bakal menjadi contoh buat pemain Malaysia lain dalam usaha mendapatkan dua emas yang disasarkan Persatuan Kriket Malaysia.

Pengurus, Shankar Retinam berkata, Malaysia berpeluang cerah untuk memenangi emas hari ini.

Sambil mahu merahsiakan barisan pemain yang akan diturunkan pada final hari ini, beliau berkata: “Pemain yang akan diturunkan tidak banyak berubah berbanding pemain yang beraksi dalam 50-overs.

“Pemain tidak sabar untuk bermain dan memenangi final itu.”

Malaysia memenangi dua perlawanan awal dengan mudah apabila membelasah Myanmar menerusi 162 larian sebelum mengalahkan Thailand tujuh wiket.

Singapura layak ke final selepas mengetepikan Indonesia menerusi kelebihan 95 larian dan Vietnam (165 larian).

Selepas melakukan beberapa century dalam kategori 50-over menentang Indonesia dan Myanmar pada perlawanan pembukaan T20, Anwar tidak beraksi ketika menentang Thailand.

Pengurusan pasukan memilih untuk menurunkan Shafiq Sharif dan Aminuddin Ramly ketika menentang Thailand tetapi mereka hanya mampu mencipta 38 larian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2017 @ 10:36 AM