Kejayaan menyuntik semangat untuk mencipta keputusan positif apabila dijangka bertemu Thailand 7 Mei ini. FOTO Ihsan Majlis Sukan Negara
Kejayaan menyuntik semangat untuk mencipta keputusan positif apabila dijangka bertemu Thailand 7 Mei ini. FOTO Ihsan Majlis Sukan Negara
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad kriket wanita negara melaungkan amaran mereka bakal menjadi pencabar kepada pingat emas selepas menumpaskan Singapura pada perlawanan pertama round robin bagi acara Ten10 (T10) di Sukan Sea Kemboja, sebentar tadi.

Perlawanan yang berlangsung di AZ Group Cricket Oval, Hun Sen Boulevard, Phnom Penh, Kemboja itu menyaksikan skuad wanita negara berjaya mencipta 38 larian over iaitu hanya perbezaan satu saja berbanding Singapura (37 larian).

Kejayaan itu sekali gus menyuntik semangat skuad kriket wanita negara untuk mencipta keputusan positif apabila dijangka bertemu Thailand pada 7 Mei ini.

Mengikut rekod, selain pasukan kriket, atlet membabitkan acara catur Ouk Chatrang dan hoki dalam dewan sudah tiba di Kemboja untuk Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-32.

Acara terbabit akan bermula lebih awal berbanding pembukaan secara rasmi bermula 5 hingga 18 Mei depan.

Persatuan Kriket Malaysia (MCA) sebelum ini tidak meletakkan harapan tinggi apabila mensasarkan tiga perak di Kemboja.

Namun, berdasarkan kepada pencapaian terkini pasukan negara sudah pastinya Malaysia mampu menyapu bersih ketiga-tiga emas bagi acara T10, Twenty20 (T20) dan 50-overs dalam saingan berlangsung di AZ Group Cricket Oval, Hun Sen Boulevard.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 8:11 PM