PEMAIN kriket lelaki negara Virandeep Singh (kiri) beraksi menentang pasukan Thailand dalam saingan Kumpulan A bagi acara T20 pada Sukan Sea 2023 di AZ Group Cricket Oval, hari ini. FOTO Fathil Asri
PEMAIN kriket lelaki negara Virandeep Singh (kiri) beraksi menentang pasukan Thailand dalam saingan Kumpulan A bagi acara T20 pada Sukan Sea 2023 di AZ Group Cricket Oval, hari ini. FOTO Fathil Asri
Aftar Singh


Kuala Lumpur: Syed Aziz Syed Mubarak dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan selepas mencatat 55 larian ketika Malaysia menewaskan Thailand dengan lapan wiket untuk mengesahkan tempat ke final T20 lelaki di AZ Group Cricket Oval dekat Phnom Penh, hari ini.

Malaysia, yang mengungguli tiga pasukan Kumpulan A dengan dua kemenangan, akan menentang sama ada tuan rumah, Kemboja atau Singapura pada perlawanan akhir 11 Mei ini.

Pada Selasa lalu, skuad bimbingan Bilal Asad mengalahkan Indonesia dengan 94 larian.

Virandeep Singh, yang mencatat 116 larian ketika bertemu Indonesia, Selasa lalu, melakukan 42 larian dan dia juga meraih dua wiket.

Tetapi Syed Aziz berada dalam prestasi yang mengagumkan apabila dia mencatatkan 55 larian daripada 29 bola dan dia gembira dengan prestasinya.

"Sangat gembira dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan. Ia akan meningkatkan keyakinan saya untuk menghadapi perlawanan akhir. Ia adalah penampilan kedua saya di Sukan Sea dan saya pasti mahu memenanginya," katanya.

Syed Aziz melakukan 80 larian ketika menentang Qatar dalam saingan Piala Perdana ACC di Nepal bulan lalu.

Untuk rekod, Malaysia juga layak ke perlawanan akhir acara 50 over, yang dijadualkan berlangsung Ahad ini.

Pengurus pasukan, Amy Mokhsani berkata: "Kami perlu berhati-hati apabila bermain di final T20. Terdapat kesukaran hari ini tetapi masih dapat menewaskan Thailand," katanya.

Kriket kali pertama diperkenalkan pada edisi Kuala Lumpur 2017 yang menyaksikan Malaysia memenangi emas dalam acara 50 overs dan perak untuk acara T20.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2023 @ 4:10 PM