BEKAS jurulatih skuad kriket negara, Bilal Asad. FOTO FB PERSATUAN KRIKET MALAYSIA
BEKAS jurulatih skuad kriket negara, Bilal Asad. FOTO FB PERSATUAN KRIKET MALAYSIA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bekas jurulatih kriket lelaki negara, Bilal Asad menghormati keputusan Persatuan Kriket Malaysia (MCA) yang tidak melanjutkan kontraknya, walaupun ia mungkin sukar diterima oleh Bilal atau mana-mana jurulatih lain dalam kedudukannya.

Bilal, 45, mengakui terkejut dengan tindakan MCA kerana dimaklumkan oleh persatuan itu bahawa mereka tidak berhasrat untuk melanjutkan perkhidmatannya pada hari terakhir kontraknya pada Khamis lalu.

Bagaimanapun, bekas pemain antarabangsa Pakistan itu telah menyeru badan induk sukan itu untuk menyelesaikan isu itu secara baik dengan pemain selepas mereka dilaporkan tidak berpuas hati dengan tindakan sedemikian yang menyebabkan kepada boikot perlawanan pemilihan kebangsaan, pada Khamis lalu.

"Memandangkan tiga bulan akan datang sangat penting untuk masa depan Malaysia dalam format 50-overs (Kelayakan Liga Cabaran Majlis Kriket Antarabangsa (ICC), saya meminta pemain dan persatuan untuk menyelesaikan cabaran yang sedang berlaku secara baik.

"Persatuan Kriket Malaysia bekerja keras untuk berada di kedudukan ini. Kadang-kadang, dalam hidup, kita perlu terima keadaan dan teruskan jika tidak semua usaha (pemain negara, petugas sokongan dan pengurusan MCA) akan menjadi sia-sia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kelayakan Liga Cabaran ICC akan diadakan di Malaysia, Februari depan.

Dengan nisbah kemenangan keseluruhan 84 peratus dalam perlawanan T20 dan 50-overs di tempat sendiri dan 60 peratus daripada perlawanan 50-overs sejak akhir 2022, Bilal yakin bekas anak buahnya mempunyai peluang cerah untuk memenangi acara itu dan layak ke Liga Cabaran ICC 2024 yang akan datang.

"Kriket Malaysia, kekal sebagai satu pasukan dan bangkit. Anda akan mencapai kemuncak kejayaan sebagaimana anda berhak," katanya.

Dalam pada itu, Bilal berkata, beliau bangga dapat melatih sebahagian besar pemain kebangsaan sejak usia muda dalam lapan tahun terakhir.

Menyedari perubahan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, beliau mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan yang menakjubkan ini dan menghargai setiap detik yang dihabiskan bersama semua pemain, rakan sekerja dan pengurusan MCA.

Semasa memegang jawatan, Bilal membawa pasukan dan pemain memecahkan beberapa rekod termasuk memenangi 13 perlawanan Antarabangsa T20 berturut-turut, tahun lalu, serta menyaksikan naib kapten pasukan kebangsaan, Virandeep Singh menjadi pemain Bersekutu ICC terpantas untuk mencapai 2000 larian Antarabangsa T20.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 7:37 PM