HANNAY Yeoh. FOTO Bernama
HANNAY Yeoh. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Putrajaya: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengakui bahawa objektif utama atlet negara ke Sukan Sea Kemboja 2023 adalah untuk tujuan pendedahan agar Malaysia mempunyai ramai pelapis di temasya lebih besar seperti Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

Menurutnya, keputusan untuk menghantar atlet muda di temasya dwi tahunan itu lebih untuk tujuan pendedahan dan mencari pengalaman.

"Itu fokus yang kita berikan kepada mereka di Sukan Sea Kemboja. Seperti saya katakan sebelum ini dalam sidang media (pengumuman sasaran pingat)," katanya di sidang media Pengumuman Pemberian Bantuan Program dan Aktiviti Pembangunan Belia dan Sukan hari ini.

Bagi temasya kali ini, kontinjen negara menyenaraikan 676 orang atlet, dengan 387 orang adalah dalam kalangan mereka berusia 23 tahun ke bawah.

Seramai 440 daripada jumlah keseluruhan atlet juga adalah kali pertama menyertai Sukan Sea.

"Fokus utama Sukan Sea adalah untuk tujuan pembangunan dan persaudaraan," kata Hannah yang menganggap sasaran 40 emas di Kemboja tetap realistik selepas beberapa acara (dikuasai Malaysia) tidak dipertandingkan.

Tambahnya, banyak acara yang kontinjen negara berjaya mencatatkan kemenangan di Vietnam tidak dipertandingkan di Kemboja sekali gus menyaksikan beberapa pingat negara 'hilang' sebelum bertanding.

Dalam pada itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperkenalkan ruangan khusus di laman sesawang www.kbs.gov.my untuk tujuan permohonan dana dan peruntukan bagi membiayai aktivi berkaitan pembangunan belia dan sukan.

"Ketika sesi libaturus sebelum ini ramai yang membangkitkan perkara tidak tahu memohon peruntukan dan siapa mendapat peruntukan berkenaan. Jadi kita mengambil langkah dengan memperkenalkan satu ruangan khusus agar pentadbiran untuk perkara ini nampak lebih telus.

"Ruangan berkenaan menyenaraikan pemberian bantuan dan setakat ini (Mei 2023) sudah ada 32 permohonan merangkumi jumlah keseluruhan sebanyak RM880,050.

"Senarai kelulusan penerima bantuan akan dikemaskini dari semasa ke semasa bagi rujukan dan semakan oleh orang ramai terutamanya di kalangan pemegang taruh belia dan sukan. Sekiranya mana-mana badan yang menerima peruntukan tidak menjalankan aktiviti berkenaan, ia boleh dilaporkan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

"Amalan tadbir urus (governance) dan tatakelola yang telus, tertib dan teratur adalah komitmen dan keutamaan KBS, terutamanya melibatkan pemberian bantuan, termasuk hebahan mengenai penerima bantuan," katanya.

Setakat ini antara penerima dana tertinggi iaitu berjumlah RM100,000 dipohon Persatuan Footgolf Malaysia dan Persatuan Sorak dan Daftar Malaysia (CHARM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 10:51 AM