RACHEL ARNOLD
RACHEL ARNOLD
Fadhli Ishak


KUALA LUMPUR: Kemaraan pemain skuasy wanita negara Rachel Arnold di Kejohanan Antarabangsa HKFC tersekat pada peringkat separuh akhir selepas tewas kepada pilihan ketiga dari Mesir, Hania El Hammamy 11-8, 11-6, 11-6 dalam masa 26 minit.

Pemain bukan pilihan berusia 22 tahun itu mengakui gagal mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan itu namun tetap berpuas hati dengan prestasinya secara keseluruhan sepanjang kejohanan.

“Saya fikir dia (Hania) bermain dengan sangat bagus, saya pula agak tidak sabar dan melakukan banyak kesilapan,” kata Rachel ketika dihubungi selepas tamat perlawanan yang berlangsung di Pusat Skuasy HKFC.

“Saya gagal beraksi seperti diharapkan tetapi saya tetap gembira mara ke separuh akhir kejohanan ini.”

Semalam, lawan Rachel di suku akhir, Coline Aumard dari Perancis yang juga pilihan kelapan terpaksa menarik diri akibat kecederaan.

Final wanita menyaksikan Hania menentang pilihan utama Annie Au dari Hong Kong yang menewaskan pemain Mesir, Mayar Hany 11-3, 11-6, 11-5.

Final kategori lelaki menyaksikan pertembungan dua pemain Hong Kong, Leo Au yang menewaskan pemain Mesir, Youssef Soliman 11-9, 7-11, 11-8, 11-8 dan akan menentang pilihan utama Max Lee. Max mengatasi cabaran rakan senegara Tsz Fung Yip 11-7, 11-9, 11-7 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Seorang lagi pemain Malaysia, S Sivasangari tewas kepada pemain tuan rumah Vanessa Chu dalam pertarungan lima set pada aksi pembukaan manakala cabaran pemain lelaki berakhir di peringkat suku akhir apabila Nafiizwan Adnan yang menjuarai kejohanan ini pada 2016 tewas di tangan Youssef.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 10:51 PM