KHIEW Hoe Yean pemenang pingat emas tunggal negara dalam acara renang di Hanoi.
KHIEW Hoe Yean pemenang pingat emas tunggal negara dalam acara renang di Hanoi.
Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Sudah tiba masanya tumpuan khusus diberikan kepada sukan renang dan olahraga yang menjadi 'lubuk emas' pada temasya sukan termasuk Sukan Sea.

Demikian pandangan pemerhati sukan tempatan, Dr Pekan Ramli yang berasakan bukan satu kerugian jika melaburkan dana besar kepada kedua-dua sukan itu kerana kontinjen negara bakal meraih pulangan lumayan dengan pungutan pingat yang banyak terutamanya emas.

"Saya berpendapat kita sudah lama terlepas pandang sukan lubuk emas ini. Bayangkanlah Singapura yang menghantar kontinjen lebih sedikit berbanding Malaysia mampu meraih lebih banyak emas iaitu renang dengan 21 pingat emas di Sukan Sea Hanoi.

"Bukan baru sekarang mereka memberi tumpuan kepada renang tetapi sudah empat atau lima edisi Sukan Sea. Bukannya kita tak pernah ada perenang yang bagus.

"Dulu kita ada Nurul Huda (Abdullah) yang menang 22 emas Sukan Sea, begitu juga Jeffrey Ong yang kerap menyumbang pingat. Kemudian kita ada Lim Keng Liat dan Daniel Bego.

"Kita tidak boleh terus biarkan renang hanya raih satu atau dua emas sahaja. Tumpuan harus diberikan kepada sukan-sukan seperti ini," katanya ketika dihubungi.

Jelas Pekan, olahraga juga melalui prestasi mendatar apabila meraih lima emas di Sukan Sea Hanoi sedangkan ia mampu menyumbang banyak pingat kepada kontinjen negara.

"Lima emas yang dimenangi kali ini juga bukan dalam acara trek. Jadi, seperti renang, sesuatu harus difikirkan untuk olahraga juga," katanya.

Malaysia memungut 39 pingat emas, 45 perak dan 90 gangsa pada temasya di Hanoi yang melabuhkan tirainya semalam untuk menduduki tempat keenam daripada 11 negara yang bertanding.

Meskipun memenuhi sasaran ditetapkan iaitu 36 emas, namun pencapaian kontinjen negara itu menerima kritikan kerana tewas kepada negara jiran, Singapura yang mendominasi sukan renang dengan meraih 21 emas daripada 47 emas diperolehi oleh kontinjen mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 9:23 PM