SHALIN (dua dari kanan) dan Sharon Wee (kanan) memberi kata-kata semangat kepada pesilat negara ketika lawatan ke Pusat Latihan MSN, Nilai, semalam. FOTO AZRUL EDHAM
SHALIN (dua dari kanan) dan Sharon Wee (kanan) memberi kata-kata semangat kepada pesilat negara ketika lawatan ke Pusat Latihan MSN, Nilai, semalam. FOTO AZRUL EDHAM
Mohd Amin Jalil


Nilai: Meskipun sasaran empat pingat emas bagi acara berbasikal lebuh raya dan pencak silat, kejutan merangkul lebih daripada itu mungkin mampu dilakukan pada temasya Sukan Sea Kemboja, Mei depan.

Keyakinan itu diluahkan Timbalan Chef de Mission (CDM), Datuk Shalin Zulkifli berdasarkan kepada tahap persiapan dilakukan atlet kedua-dua sukan itu, setakat ini.

Katanya, tidak mustahil kejutan boleh dilakukan atau setidak-tidaknya menyamai pencapaian dua pingat emas bagi setiap acara itu yang diraih di Sukan Sea Hanoi, Vietnam, Mei tahun lalu.

"Saya sebenarnya tidak terkejut, bukan sahaja dua sukan ini, tetapi sukan lain mampu mencipta kejutan di Kemboja nanti dengan meraih lebih banyak pingat emas.

"Atlet dilihat begitu bersemangat dan berkobar-kobar, tambahan pula kita ada beberapa atlet senior dan berpengalaman yang akan membantu atlet muda.

"Jika mereka dapat melakukan yang terbaik semasa latihan, insya-Allah akan dapat keputusan yang baik pada hari pertandingan nanti," katanya.

Petang semalam, beliau dan seorang lagi Timbalan CDM, Sharon Wee melawat venue latihan atlet berbasikal lebuh raya dan pencak silat di Pusat Latihan Majlis Sukan Negara (MSN), di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 8:19 PM