MOHD Nasir Ali ketika sidang media rangkuman prestasi Sukan Sea 2023, di Dewan Casa 4, MSN Bukit Jalil, hari ini. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
MOHD Nasir Ali ketika sidang media rangkuman prestasi Sukan Sea 2023, di Dewan Casa 4, MSN Bukit Jalil, hari ini. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan Sea Kemboja 2023, Datuk Nasir Ali mengakui kegagalan mencapai sasaran 40 pingat emas di Sukan Sea Kemboja 2023 bukan malapetaka buat industri sukan tanah air dan harus dijadikan titik kebangkitan untuk melakar pencapaian lebih gemilang.

Menurut beliau, semua pihak harus memandangnya daripada sudut positif dengan kelahiran ramai bakat baharu dalam persediaan menghadapi edisi Thailand 2025 dan Malaysia 2027.

"Sukan Sea kali ini memberikan pengajaran besar. Kita tak capai sasaran, boleh bagi bermacam-macam alasan tetapi kita tak boleh nafikan mereka (atlet) mencuba sedaya upaya," katanya.

Ujarnya, kesemua 674 atlet terpilih berhempas pulas melakukan yang terbaik walaupun akhirnya 34 pingat emas sahaja berjaya diraih sepanjang temasya di Phnom Penh itu.

"Namun, kita tak boleh nafikan 34 pingat emas ini adalah berkualiti dan kemenangan yang bermaruah, bukannya menang hanya disebabkan nasib. Kita tak boleh lupakan siapakah pemenang 34 pingat emas ini?

"Kita ada bakat-bakat baharu contohnya Umar (Osman) acara 400 meter (m) dan pemain golf berumur 15 tahun (Ng Jing Xuen) yang dulu menang gangsa di Hanoi tetapi kali ini berjaya mendapatkan pingat emas," katanya.

Kata Nasir, seluruh episod kejayaan atau tidak berjaya di Sukan Sea perlu menjadi titik kebangkitan dan membuka mata semua pihak.

"Tak perlu nak debat sasaran, jadikan ia satu paras di mana kita akan membaikinya," katanya.

Tambah Nasir, beliau berharap langkah seterusnya dapat dilakukan oleh persatuan-persatuan sukan bagi memastikan bakat atlet yang dikenal pasti dapat meningkat ke satu tahap lebih tinggi.

"Umar nak lari 44 saat ambil masa empat hingga lima tahun untuk jadi juara. Apa kita nak buat sebab dia adalah bintang negara sekarang. Adakah hantar dia ke luar negara atau dapat latihan istimewa? Jadi kita kena rancang.

"Ia juga bukan mengenai pemain golf umur 15 tahun (Ng Jing Xuen) menang Sukan Sea tetapi bagaimana kita nak memastikan dia menjadi juara Asia, juara remaja Asia dalam sukan golf,"

jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2023 @ 4:27 PM