PRESIDEN MOM, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria. -FOTO NSTP
PRESIDEN MOM, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria. -FOTO NSTP
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyifatkan Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam sebagai mesra masyarakat sukan, dengan dua elemen yang berobjektifkan penyertaan meluas sektor swasta.

Presiden MOM, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria berkata, Belanjawan 2023 dirangka khas bagi menggalakkan tajaan sektor swasta untuk tujuan pembangunan sukan yang berteraskan perpaduan.

"Belanjawan 2023 bersifat mesra masyarakat sukan kerana Kerajaan Persekutuan bukan sahaja menyediakan dana untuk menggalakkan pembabitan sektor swasta tetapi juga mengenakan potongan cukai bagi individu atau syarikat yang menyumbang kepada badan bukan berasaskan keuntungan yang boleh membangunkan sukan di peringkat akar umbi.

"Adalah jelas bahawa peruntukan sukan dalam Belanjawan 2023 sejajar dengan hasrat MOM dalam mempromosi nilai-nilai murni sejagat menerusi industri sukan yang mampan," katanya.

Dalam pada itu Norza berkata, dana geran padanan sejumlah RM 50 juta bagi mendorong penajaan sektor swasta untuk sukan yang berteraskan perpaduan dan penganjuran pertandingan di peringkat kebangsaan menggambarkan iltizam Kerajaan Persekutuan untuk menjadikan sukan sebagai ejen penyatuan sebenar.

"Peruntukan RM 324 juta untuk menambah baik program latihan dan kemudahan sukan sedia ada juga adalah penting untuk penyediaan Kontinjen Malaysia yang ampuh menjelang dua Temasya Pelbagai Sukan utama tahun ini, iaitu Sukan Asia Tenggara Ke-32 di Kemboja pada 5-17 Mei 2023 dan Sukan Asia Ke-19 di Hangzhou, China pada 23 September-8 Oktober 2023," ujarnya.

Tambah Norza, potongan cukai sehingga 10% daripada pendapatan agregat yang akan dinikmati oleh individu atau syarikat yang menyumbang kepada organisasi bukan berasaskan keuntungan harus membuka laluan kepada Persatuan Sukan Kebangsaan untuk menjalin kerjasama erat dengan sektor swasta.

"Ini juga selari dengan saranan MOM agar satu mekanisme baharu digarap bagi memastikan penaja menerima pengecualian cukai tertentu apabila menyumbang kepada industri sukan," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2023 @ 11:10 AM