Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperuntukkan sebahagian peruntukan Belanjawan 2023 untuk kesedaran dalam kesihatan awam berkenaan penyakit tiga serangkai yang menyumbang kepada serangan jantung.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sani berkata, peruntukan akan disalurkan kepada fasiliti kesihatan untuk program kesedaran itu bagi mencegah peningkatan masalah itu.

"Sebahagian bajet yang diumumkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kita akan meningkatkan dari sudut perbelanjaan kesihatan awam untuk program kesedaran tentang penyakit tiga serangkai.

"Ia seperti kolestrol, darah tinggi dan diabetes. Punca serangan jantung adalah disebbkan penyakit ini. Walaupun peningkatannya tidak terlalu drastik tetapi kita akan meningkatkan program kesedaran di klinik kesihatan," katanya pada Persidangan Kegagalan Jantung 2023 Institut Jantung Negara (IJN), di sini,hari ini.

Menurutnya, sebagai contoh beliau juga meminta kepada Ahli Parlimen untuk membuat pemeriksaan kesihatan dua kali setahun.

"Terutama bermula pemeriksaan jantung dupaya Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat tidak berlaku masalah (kesihatan seperti) serangan jantung," katanya.

Media sebelum ini melaporkan,Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik beberapa inisiatif dalam pembentangan Belanjawan 2023 apabila menerima peruntukan kedua terbesar dengan peningkatan sebanyak 12 peratus kepada RM36.3 bilion berbanding RM32.4 bilion pada tahun lalu.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa, dilaporkan berkata inisiatif kerajaan memperkenalkan Skim Perubatan Madani dengan peruntukan RM120 juta adalah khusus bagi golongan miskin mendapatkan rawatan kesihatan di klinik dan pengamal perubatan am dan swasta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 5:01 PM