NORZA berkata keutamaan tetap akan diberikan kepada atlet bawah umur 23 tahun. FOTO OWEE AH CHUN
NORZA berkata keutamaan tetap akan diberikan kepada atlet bawah umur 23 tahun. FOTO OWEE AH CHUN
Zulkarnain Azman


Petaling Jaya: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bersedia membenarkan beberapa sukan-sukan tertentu untuk menyenaraikan atlet senior dalam Kategori B di Sukan Sea Kemboja pada Mei depan.

Bagaimanapun ia bergantung kepada alasan tertentu terutamanya kepada sukan berkumpulan yang mesti membabitkan campuran atlet senior dan atlet junior.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, keutamaan tetap akan diberikan kepada atlet bawah umur 23 tahun.

"Ada sedikit kelonggaran berdasarkan alasan yang diberikan termasuk bagi polo air, lumba perahu tradisional dan bola tampar. Sebagai contoh, tiga atlet senior dibenarkan berada dalam senarai 10 pemain bagi setiap pasukan.

"Ini bagi membolehkan atlet senior ini memberikan bimbingan dan pendedahan kepada atlet junior dalam temasya sukan dwitahunan itu.

"Untuk kuartet 4x100 meter (m) dan 4x400m dalam olahraga pula, mereka kena ada campuran pelari yang berumur bawah 23 tahun jika mahu pergi ke Sukan Sea Kemboja melalui Kategori B, jika tidak, tidak boleh.

"Selain itu, acara snuker dan billiard akan diberikan kelonggaran kerana sukan ini ada yang berumur lebih 50 tahun. Anda ke faham, sukan ini bermula lambat dan bukan senang untuk mencari pelapis," katanya pada mesyuarat majlis eskekutif, MOM ke-204 hari ini.

Tambah Norza lagi, kategori B akan kekal menjadi platform terbaik bagi persatuan sukan kebangsaan (NSA) mengetengahkan atlet-atlet muda yang mempamerkan aksi terbaik di Sukan Malaysia (Sukma).

Jelasnya, atlet 'veteren' yang ingin beraksi di temasya dwitahunan itu perlu melepasi had kelayakan Kategori A iaitu berada di kedudukan tiga terbaik di peringkat Asia Tenggara.

"Ketika ini, senarai awal atlet dan pegawai pasukan yang akan ke Sukan Sea Kemboja ialah seramai 799 orang iaitu melibatkan 594 atlet dan 205 pegawai pasukan daripada 29 sukan.

"Hanya 367 atlet dan 143 pegawai pasukan memenuhi piawaian kelayakan Kategori A tetapi MOM telah bersetuju dengan permintaan NSA untuk meluluskan penyertaan 227 atlet dan 62 pegawai pasukan di bawah Kategori B, dengan syarat mereka membiayai latihan dan perjalanan mereka ke Kemboja.

"Bagaimanapun, jumlah akhir atlet dan pegawai yang akan ke Sukan Sea Kemboja akan dimuktamadkan selepas tarikh akhir penghantaran nama iaitu pada 5 Mac depan," katanya.

Dalam pada itu katanya, olahraga dijangka membentuk pasukan terbesar, dengan 33 atlet telah layak di bawah Kategori A, dan 31 atlet di bawah Kategori B dengan matlamat membentuk skuad yang kuat untuk Sukan Sea 2025 dan 2027.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2023 @ 5:11 PM