AFP

Melbourne: Juara bertahan, Stan Wawrinka meluahkan rasa gembira meneruskan kemaraan ke pusingan keempat Terbuka Australia, semalam dan menyifatkan Novak Djokovic dan Rafael Nadal sebagai pilihan utama bergelar juara.

Pilihan kempat dari Switzerland itu mara dengan kemenangan 6-4, 6-2, 6-4 mengatasi pemain Finland, Jarkko Nieminen di Rod Laver Arena dan bakal berdepan tentangan Guillermo Garcia-Lopez dari Sepanyol pada saingan peringkat 16 terakhir.

Kejayaan itu tidak mengganggunya kerana dia tidak menjadi tajuk utama akhbar sejak saingan awal.

“Saya berada pada tahap terbaik sejak kejohanan ini bermula,” katanya.

“Sudah tentu saya lebih fokus dengan kehadiran Novak Djokovic dan Rafa Nadal yang kembali beraksi selepas pulih kecederaan.

“Malah penyertaan Nick Kyrgios, Bernard Tomic dan Roger Federer sebelum dia tersingkir turut memberi ancaman.

“Saya masih memikirkan Novak dan Rafa adalah dua pilihan utama kejohanan ini.

“Bagi saya, ia tidak menjadi masalah. Saya berasa hebat. Saya gembira dengan cara saya bermain. Meneruskan kemaraan ke minggu kedua adalah sesuatu yang hebat. Setakat ini, segala-galanya berada dalam keadaan baik buat saya.”

Wawrinka juga konsisten pada pertemuan pertamanya menentang pemain Finland menduduki ranking ke-72 itu dalam tempoh empat tahun dengan enam kali memecahkan servis Nieminen dan mencatat 55 kemenangan.

Pemain Switzerland itu tidak sabar berdepan Garcia-Lopez selepas mengalami kekalahan ‘sengit’ kepadanya pada Terbuka Perancis tahun lalu.

“Dia bermain dengan begitu baik sekali. Saya mengalami kekalahan menentangnya pada pusingan pertama Terbuka Perancis tahun lalu,” kata Wawrinka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 January 2015 @ 7:45 AM