Madrid: Penyerang Chelsea Diego Costa (gambar) diketepikan daripada senarai pemain pilihan Vicente del Bosque untuk aksi menentang Belarus dan Jerman bagi membantu mempercepatkan proses pemulihan pemain itu.

“Saya sudah berbincang dengan doktor kami dan juga doktor di Chelsea mengenai perkara itu. Saya memutuskan untuk mengenepikannya berikutan kecederaan pangkal paha yang dialaminya,” kata pengendali Sepanyol Del Bosque.

Del Bosque menambah: “Kami sudah mencapai persetujuan dengan kakitangan perubatan di Chelsea. Dia memang mahu bermain mewakili negara tetapi apa yang kami lakukan ini adalah demi kebaikannya.”

Sementara itu, pengurus Chelsea José Mourinho menafikan beliau memainkan peranan dalam menentukan keputusan berkenaan.

“Saya mahu menjelaskan bahawa saya tidak terbabit dalam menentukan keputusan,” katanya.

“Ia satu keputusan yang bagus untuknya, kami dan juga skuad kebangsaan.

Sepanyol yang juga juara bertahan, memulakan aksi kelayakan Eropah dengan buruk apabila sekadar menduduki tangga kedua Kumpulan C selepas mengumpul enam mata hasil tiga perlawanan - tiga mata di belakang Slovakia.

Mereka akan melayan kunjungan Belarus awal pagi Isnin ini sebelum bertemu Jerman dalam perlawanan persahabatan tiga hari kemudian.

Costa dipanggil menyarung jersi kebangsaan ketika menentang Slovakia dan Luxembourg bulan lalu sekali gus mencetuskan perbalahan dengan Mourinho yang merasakan pemain kelahiran Brazil itu perlu berehat bagi memulihkan kecederaannya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:10 AM