AFP

Melbourne: Juara enam kali Novak Djokovic (gambar) memulakan aksi mempertahankan kejuaraan Terbuka Australia dengan langkah kanan selepas mengatasi kedegilan pemain Sepanyol Fernando Verdasco di Melbourne, semalam.

Bintang Serbia yang tampil sebagai pilihan kedua itu mengelak potensi tersingkir pada pusingan pertama di tangan Verdasco, yang menundukkan Rafael Nadal pada pusingan pertama tahun lalu.

Djokovic menang 6-1, 7-6 (7/4), 6-2 dalam masa dua jam 20 minit di Arena Rod Laver untuk mara bertemu pemain Uzbekistan Denis Ismomin pada pusingan kedua.

“Saya amat gembira dengan pusingan pertama, memandangkan saya berdepan satu daripada undian paling sukar pada pusingan pertama, sudah tentu kerana prestasinya, bagaimana bagusnya dia bermain menentang saya di Doha,” ujar Djokovic.

“Saya ingatkan dapat undian menentang pemain lebih lemah.

“Maksud saya, dia seorang pemain berkualiti, bekas pemain kelompok 10 terbaik dunia. Dia menewaskan Nadal pada pusingan pertama tahun lalu di sini. Dia memang hebat.”

Sementara itu, Serena Williams dan Nadal melupakan cuaca panas dan keraguan mengenai prestasi mereka dengan permulaan cemerlang kali ini.

Serena, yang kembali selepas berehat kerana kecederaan, mengetepikan pemain berbahaya Belinda Bencic 6-4, 6-3 manakala Nadal turut mengagumkan ketika menang 6-3, 6-4, 6-4 ke atas Florian Mayer.

Ia jauh berbeza dengan kemaraan Angelique Kerber dan Andy Murray kelmarin, walaupun suhu meningkat kepada 37 Celsius pada hari kedua.

Pemain Amerika Syarikat berusia 35 tahun itu, yang memburu rekod 23 kejuaraan utama, disaksikan dari tepi gelanggang oleh tunangnya yang juga pengasas bersama Reddit, Alexis Ohanian.

“Ia satu daripada pusingan pertama paling sukar pernah saya lalui,” tegas Serena, yang mempunyai rekod pertembungan 1-1 dengan Belinda sebelum aksi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2017 @ 8:49 AM