SYED Azmir (dua dari kanan) turut mendedahkan faktor lain yang menyebabkan PSTPs keluar dari payung Mastaf. FOTO FERZALFIE FAUZI
SYED Azmir (dua dari kanan) turut mendedahkan faktor lain yang menyebabkan PSTPs keluar dari payung Mastaf. FOTO FERZALFIE FAUZI
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Faktor tiada penganjuran kejohanan antara salah satu punca Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs) mengambil keputusan untuk melakukan pusingan 'U' kembali menyertai Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) selepas mengumumkan keluar daripada Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (Mastaf) semalam.

Presidennya, Syed Azmir Syed Ahmad berkata, pihaknya tidak dapat melihat kesungguhan Mastaf untuk menganjurkan kejohanan sekali gus memberi kesan negatif kepada perkembangan arena sepak takraw di peringkat negeri dan negara.

"Saya sudah 10 bulan berada dalam Mastaf. Bagi saya, kita (Perlis) keluar daripada PSM dan masuk Mastaf kerana kita mementingkan pembangunan sepak takraw dan atlet.

"Namun kalau atlet tak boleh bergerak, atlet tak boleh bertanding di mana-mana kejohanan, ini menjadi masalah kepada perkembangan atlet ini.

"Jadi, selama 10 bulan, ini yang dikesalkan dan saya terus bertahan dan bertahan... akhirnya saya melihat kalau saya terus bertahan juga, maka sepak takraw ini terutama di Perlis, sekiranya berada dalam Mastaf akan malap, sukar nak berkembang.

"Ini kerana kita tak boleh bertanding dalam kejohanan antarabangsa dan kita sendiri pun tak ada kejohanan," katanya yang turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Penolong Setiausaha Agung Mastaf.

Dalam pada itu Syed Azmir turut mendedahkan faktor lain yang menyebabkan (PSTPs) keluar dari payung Mastaf salah satunya kerana mereka tidak boleh menyuarakan pandangan disebabkan mesyuarat yang membabitkan badan sukan berkenaan sudah lama tidak dibuat.

"Jadi ada empat faktor saya membuat keputusan meninggalkan Mastaf. Pertamanya, mesyuarat membabitkan ahli majlis ini kurang dan sudah lama tidak dibuat.

"Sekiranya tidak ada, kita tak boleh menyuarakan pandangan apa yang berlaku memandangkan ini adalah platform terbaik untuk bercakap.

"Keduanya, saya bangkitkan isu berkaitan perlantikan jawatankuasa seperti kejurulatihan, pengadilan dan sebagainya... ini pun tak ada, tak wujud. Ketiganya, penganjuran kejohanan, sudah 10 bulan dan saya rasa semua nampak, ketiadaan kejohanan Mastaf. Semua orang boleh nampak dan akuinya.

"Keempat, takwim perancangan, kebiasaannya nak masuk tahun (contoh) 2023, seperti mana saya di PSM dulu, memang takwim itu sudah ada untuk sepanjang tahun depan, tetapi kita (Mastaf) tak ada. Bila tak ada, bagaimana kita nak bergerak," kata Syed Azmir.

Dengan penyertaan semula Perlis ke PSM, ia nyata memberikan impak besar Mastaf sehingga menyaksikan badan induk kebangsaan yang diiktiraf Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) itu membuat keputusan membubarkan penubuhan mereka berkuatkuasa semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 5:43 PM