ALCARAZ cipta sejarah pemain termuda raih pendapatan tertinggi. -FOTO AFP
ALCARAZ cipta sejarah pemain termuda raih pendapatan tertinggi. -FOTO AFP
Agensi

London: Pemain remaja yang mencetus fenomena, Carlos Alcaraz meraih satu lagi penghormatan selepas mencipta sejarah tahun ini dengan menewaskan Rafael Nadal dan Novak Djokovic untuk menamatkan musim ini sebagai pemain termuda meraih pendapatan tertinggi Jelajah ATP.

Pemain berusia 19 tahun itu meraih lebih daripada AS$15 juta (RM65.72 juta) manakala juara 22 kali grand slam Nadal AS$14 juta (RM61.33 juta).

Alcaraz menjadi pemain termuda menamatkan tahun ini sebagai pemain nombor satu dunia dalam sejarah kedudukan ATP.

Dia melonjak kedudukan dari kedudukan ke-32 dunia pada permulaan musim dan menjadi pemain nombor satu dunia pada penghujung musim menjadikan ia sebagai satu pencapaian terbesar dalam sejarah.

Pemain Sepanyol itu turut menyertai rakan senegara dan pemain nombor dua dunia, Nadal sebagai pemain pertama dari negara yang sama meraih dua kedudukan teratas pada penutup musim dalam tempoh 26 tahun.

Kedudukan itu sebelum ini pernah dicapai pemain Amerika, Pete Sampras dan Michael Chang pada 1996.

Bulan lalu, Alcaraz memecahkan rekod legenda Australia, Lleyton Hewitt apabila menjadi pemain nombor satu termuda dalam sejarah Jelajah ATP selama hampir 50 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 1:22 PM