ALCARAZ sedia mulakan aksi 2023 di Argentina. FOTO AFP
ALCARAZ sedia mulakan aksi 2023 di Argentina. FOTO AFP
Reuters

Madrid: Berjaya memenuhi impiannya menjadi pemain nombor satu dunia tahun lalu, membuatkan Carlos Alcaraz terkejut.

Bagaimanapun, pemain antarabangsa Sepanyol itu mengakui dia masih lagi perlu mempertingkatkan permainannya dan ia perlu dilakukan untuk permulaan musim 2023 apabila beraksi di Terbuka Argentina minggu depan.

Alcaraz melonjak ke tangga teratas ranking ATP pada September 2022 selepas meraih kejuaraan utama pertama di Terbuka Amerika Syarikat dan kekal selama 22 minggu sebelum dirampas Novak Djokovic.

Djokovic menduduki tangga teratas selepas muncul juara Terbuka Australia, manakala Alcaraz tidak beraksi kerana kecederaan.

"Saya berjaya memenuhi impian, meraih sasaran dan ia sangat cepat. Boleh dikatakan dalam masa setahun sahaja. Saya menanganinya secara semula jadi.

"Selepas menjadi No. 1, saya terpaksa meletakkan matlamat baharu, perkara baharu untuk jangka masa panjang, saya masih muda dan saya mempunyai banyak perkara yang perlu diperbaiki.

"Saya fikir saya boleh meningkatkan segala-galanya dari segi permainan, kecergasan dan mentaliti saya. Sedikit demi sedikit, pasukan saya akan mengambil langkah kecil itu untuk menjadi lebih baik," kata pemain berusia 19 tahun itu yang sekarang ini berada di kedudukan kedua dunia.

Alcaraz berkata dia memperoleh motivasi selepas Rafa Nadal, Roger Federer dan Djokovic, yang membuat peningkatan besar dari masa ke masa selepas permulaan yang hebat pada tahun-tahun awal mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 1:59 PM