Adnan Abu.
Adnan Abu.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Usahawan yang kini 'Tiktoker', Datuk Red menyifatkan lebih selesa menjadikan keretanya sebagai tempat tidur kerana proses pembelajaran yang perlu dibiasakan selepas bercerai dengan dua isterinya, baru-baru ini.

Datuk Red atau Datuk Seri Adnan Abu, 46, bercerai talak satu dengan isteri keduanya iaitu penyanyi, Adira Suhaimi, 32, pada 24 April lalu, diikuti perceraian dengan isteri pertama, Datin Seri Sharifah Norshafila Hashim atau Datin Red, 38, pada 14 Mei lalu.

"Saya kini selesa tinggal dan tidur di dalam kereta. Tiada masalah pun. Alhamdulillah saya masih diberi kesihatan yang baik. Jangan risau dan tak usah risaukan saya. Terima kasih semua.

"Saya juga berkemampuan untuk menyewa rumah atau bilik, cuma sekarang nak biasakan dan mengajar diri saja. Semua ini (bercerai) masih baharu berlaku pada Selasa lalu," katanya dalam hantaran video di TikTok.

Menurut bapa 11 anak ini, dia juga banyak menerima mesej daripada orang ramai yang menawarkan pertolongan seperti hendak tumpangkan kediaman dan beri tempat tinggal, namun dia menolaknya dengan baik.

"Terima kasih banyak-banyak. Bukan saya tak mahu, tetapi saya malas nak susahkan orang. Saya juga semakin selesa begini.

"Lagi pun, sebuah bilik yang saya sewa untuk dijadikan ruang perniagaan, kini di dalam proses ubah suai lagi dan sebabkan itu jugalah saya terpaksa bermalam dalam kereta," katanya.

Menerusi perkongsian hidup selama 18 tahun bersama Datin Red, mereka dikurniakan lima anak, manakala sembilan tahun berkahwin dengan Adira, dianugerahkan anak iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5 dan Ayob yang kini berusia dua tahun.

Selain itu, Datuk Red yang pertama kali berkahwin pada usia awal 20-an turut memiliki dua anak daripada perkahwinan lalunya yang berakhir dengan perpisahan, sebelum bertemu jodoh bersama Datin Red dan Adira.

Pada perceraian dengan dua isterinya dalam tempoh tiga minggu itu, Adira dan Datin Red juga masing-masing tidak menuntut sebarang nafkah kepada bekas suami mereka kerana enggan menyusahkan lelaki berkenaan.

Sebelum ini, Datuk Red ada membuat pendedahan dia kini berstatus muflis sejak 2019 lalu apabila perniagaan hartanah dijalankannya gagal sehingga perlu menanggung hutang kira-kira RM7 juta, malah pernah disara Adira kerana tiada pekerjaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 3:11 PM