SIRI Jelajah AIS Harian Metro akan bermula di Karnival Jom Heboh Puteri Harbour, Iskandar Puteri, Johor, pada 9 dan 10 Disember depan.
SIRI Jelajah AIS Harian Metro akan bermula di Karnival Jom Heboh Puteri Harbour, Iskandar Puteri, Johor, pada 9 dan 10 Disember depan.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Selain memberi pengiktirafan kepada atlet semasa, organisasi serta pemimpin sukan, Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro tidak melupakan bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negara satu ketika dahulu.

Justeru itu, seorang bekas atlet negara akan menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Ikon Sukan Legenda pada majlis AIS yang disiarkan secara langsung, Januari depan di saluran TV9 selaku penyiar rasmi bagi AIS manakala Gardenia Bakeries sebagai penaja utama.

Berbanding lapan kategori lain apabila pemenang ditentukan menerusi undian oleh pembaca akhbar Harian Metro untuk pusingan pertama dan 50 peratus penilaian juri profesional dan 50 peratus lagi daripada undian pilihan peminat di pusingan kedua, pemenang bagi Anugerah Ikon Sukan Legenda akan dipilih sepenuhnya pihak penganjur.

Anugerah khas itu bertujuan mengiktiraf bekas atlet yang sudah memberi sumbangan besar kepada negara terutama di pentas antarabangsa sepanjang karier mereka.

Sebanyak lapan kategori utama dipertandingkan untuk AIS ialah Ikon Sukan Lelaki Breakthru; Ikon Sukan Wanita Breakthru; Ikon Sukan Paralimpik; Ikon Sukan Jurulatih; Ikon Sukan Persatuan/Kelab; Ikon Sukan Kepimpinan; Ikon Sukan Harapan; dan Ikon Sukan Pempengaruh.

Selepas berakhir pusingan pertama, pusingan kedua proses undian membabitkan atlet dan ahli sukan terpilih dalam kalangan lima terbaik bagi setiap kategori akan bermula pada 1 Disember ini.

Ini bermakna, lima calon disenarai pendek bagi setiap kategori itu akan berentap sekali lagi dengan pemilihan kali ini membabitkan 50 peratus penilaian juri profesional dan 50 peratus lagi daripada undian pilihan peminat.

Seorang pemenang meraih undian dan markah paling banyak akan dinobatkan dengan Anugerah Ikon Sukan Terbaik dan pemenangnya akan diumumkan pada malam kemuncak AIS.

Dapatkan borang undian AIS di dalam akhbar Harian Metro atau boleh mengundi melalui www.hmetro.com.my/AIS.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2022 @ 5:04 PM