FATIN Nurfatehah tidak menyangka tersenarai dalam ‘top 5’ AIS Harian Metro. FOTO ARKIB NSTP
FATIN Nurfatehah tidak menyangka tersenarai dalam ‘top 5’ AIS Harian Metro. FOTO ARKIB NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Debaran Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro semakin terasa apabila proses undian membabitkan atlet dan ahli sukan terpilih dalam kalangan lima terbaik (top 5) akan bermula pada 1 sehingga 25 Disember ini.

Ini bermakna, lima calon disenarai pendek bagi setiap kategori itu akan berentap sekali lagi dengan pemilihan kali ini membabitkan 50 peratus penilaian juri profesional dan 50 peratus lagi daripada undian pilihan peminat.

Seorang pemenang yang meraih undian dan markah paling banyak akan dinobatkan dengan AIS Terbaik dan pemenangnya akan diumumkan pada malam kemuncak AIS yang disiarkan secara langsung, Januari depan di saluran TV9 selaku penyiar rasmi bagi AIS manakala Gardenia Bakeries sebagai penaja utama.

Justeru itu, pembaca akhbar Harian Metro serta peminat sukan negara bolehlah membuat undian atlet kegemaran mereka bermula 1 Disember ini mengikut kategori dipertandingkan.

Bagi atlet memanah negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh yang berada dalam senarai 'top 5' AIS Wanita Breakthru, dia sememangnya tidak menyangka dapat melangkah sejauh itu.

"Alhamdulillah, memang tak sangka sebab ramai atlet lebih hebat. Bagi saya, berada dalam 'top 5' sudah kira cukup baik dan amat bersyukur.

"Sememangnya saya amat gembira dengan kejayaan ini. Saya sekarang sedang fokus kepada pelajaran di peringkat PhD (ijazah doktor falsafah) dan berlatih seperti biasa untuk temasya Sukan Asia, tahun depan," katanya.

Sebanyak lapan kategori utama dipertandingkan untuk AIS ialah Ikon Sukan Lelaki Breakthru; Ikon Sukan Wanita Breakthru; Ikon Sukan Paralimpik; Ikon Sukan Jurulatih; Ikon Sukan Persatuan/Kelab; Ikon Sukan Kepimpinan; Ikon Sukan Harapan; dan Ikon Sukan Pempengaruh.

Dapatkan borang undian AIS di dalam akhbar Harian Metro atau boleh mengundi melalui www.hmetro.com.my/AIS.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 7:13 PM