BADHRI pernah meraih trofi Pemain Tengah Terbaik dan Anugerah Pemain Paling Berharga pada Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2013. FOTO NSTP
BADHRI pernah meraih trofi Pemain Tengah Terbaik dan Anugerah Pemain Paling Berharga pada Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2013. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Bekas kapten Kelantan Badhri Radzi atau Piya melihat penganjuran Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro merancakkan kemeriahan industri sukan negara selain turut membantu memperkenalkan atlet kepada umum.

Piya yang tercalon dalam kategori Ikon Sukan Pempengaruh berkata, anugerah seumpama itu juga boleh menarik lebih ramai penaja sekali gus membantu atlet memasarkan diri mereka kepada syarikat korporat untuk tujuan penajaan.

"Atlet bukan seperti artis yang sering mendapat publisiti kerana mereka lebih fokus kepada meningkatkan prestasi ke tahap lebih tinggi.

"Sebab itu, AIS ini penting untuk membantu karier atlet kerana sudah pastinya akan lebih dikenali sekali gus mendapat tumpuan sewajarnya daripada pihak berkaitan.

"Lagi pun, kita lihat tidak banyak anugerah seperti ini dianjurkan dan sudah tentu akan memeriahkan lagi industri sukan negara kelak," katanya.

Selain itu, kita ditanya mengenai pencalonannya dalam kategori Ikon Sukan Pempengaruh, Piya yang juga bekas pemain skuad kebangsaan berkata, beliau tidak menyangka walaupun sudah berusia namun masih lagi berkesempatan tersenarai dalam kategori terbabit.

"Lawan saya nanti bukanlah biasa-biasa namun siapa pun yang menang mereka semua adalah yang terbaik dan sudah berkorban demi mengharumkan nama negara," katanya.

Mengikut rekod, sebanyak lapan kategori utama dipertandingkan untuk AIS ialah Ikon Sukan Lelaki Breakthru; Ikon Sukan Wanita Breakthru; Ikon Sukan Paralimpik; Ikon Sukan Jurulatih; Ikon Sukan Persatuan/Kelab; Ikon Sukan Kepimpinan; Ikon Sukan Harapan; dan Ikon Sukan Pempengaruh.

Selepas berakhir pusingan pertama, pusingan kedua proses undian membabitkan atlet dan ahli sukan terpilih dalam kalangan lima terbaik bagi setiap kategori akan bermula pada 1 Disember ini.

Ini bermakna, lima calon disenarai pendek bagi setiap kategori itu akan berentap sekali lagi dengan pemilihan kali ini membabitkan 50 peratus penilaian juri profesional dan 50 peratus lagi daripada undian pilihan peminat.

Seorang pemenang meraih undian dan markah paling banyak akan dinobatkan dengan Anugerah Ikon Sukan Terbaik dan pemenangnya akan diumumkan pada malam kemuncak AIS.

Dapatkan borang undian AIS di dalam akhbar Harian Metro atau boleh mengundi melalui www.hmetro.com.my/AIS.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2022 @ 4:45 PM