PASUKAN EF sedia untuk menggegarkan perlumbaan LTdL 2022. FOTO Ihsan LTdL 2022
PASUKAN EF sedia untuk menggegarkan perlumbaan LTdL 2022. FOTO Ihsan LTdL 2022
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Dua pasukan WorldTeams, Movistar dan EF Education-EasyPost masing-masing bakal membawa keluar 'senjata' terbaik mereka untuk menghadapi saingan di zon pendakian Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 yang akan membuka tirai bermula 11 hingga 18 Oktober ini.

LTdL 2022 menyaksikan dua trek pendakian iaitu di Genting Highlands (13 Oktober) dan Gunung Raya (17 Oktober) dijangka mampu menghangatkan lagi perlumbaan yang sudah memasuki edisi ke-26 itu.

Bagi pasukan Movistar yang berpangkalan di Sepanyol, mereka bakal mempertaruhkan dua pelumba dari Colombia, Einer Rubio dan Ivan Sosa serta Oscar Rodriguez dari Sepanyol.

Rodriguez, 27, yang juga pemenang Vuelta a Espana 2018 dan King of Mountains dalam Tour of the Alps akan mengetuai cabaran di zon pendakian terutamanya ketika perlumbaan ke Genting Highlands.

Sosa, 24, pula boleh bergantung kepada pengalamannya untuk memberikan cabaran hebat kerana bekas pelumba Androni-Sidermec itu adalah sebahagian daripada peloton LTdL 2017 di mana dia menduduki tempat ke-15 keseluruhan.

Manakala, Reyes, 24, adalah seorang lagi pelumba yang mampu memberi impak kerana sudah bersama Movistar sejak 2020 dan pernah beraksi dalam dua Giros iaitu pada 2020 dan 2021.

Sementara itu, EF Education-EasyPost (berpangkalan di Amerika Syarikat) yang kini menduduki tempat ke-15 dalam ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), turut dilengkapi dengan pelumba terbaik terdiri daripada duo Colombia, Esteban Chaves, 32, dan Diego Camargo, 24, serta Mark Padun, 26, dari Ukraine.

Chaves, yang kini menduduki tempat ke-113 di dunia adalah bekas pelumba Orica GreenEdge dan Michelton-Scott selain kerap muncul dalam Grand Tours termasuk memenangi tiga peringkat di Giro d'Italia dan dua peringkat di Vuelta a Espana dari 2015 hingga 2019.

Pineda yang menyertai EF Education pada 2021 adalah seorang lagi pelumba yang pernah beraksi dalam Vuelta pada tahun lepas dan Giro baru-baru ini.

Manakala, Padun yang dahulunya bersama Bahrain-Merida dan sudah lima kali menyertai Grand Tour adalah nama yang perlu diberikan perhatian kerana aksi agresifnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 2:25 PM