SULAIMAN ketika  pembentangan Bajet Melaka 2022 di Seri Negeri.
SULAIMAN ketika pembentangan Bajet Melaka 2022 di Seri Negeri.
Nazri Abu Bakar


Melaka: Pusat sukan e-sukan dan sukan ekstrem akan diwujudkan di setiap kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, bagi tujuan itu peruntukan diumumkan pada pembentangan Bajet Melaka 2022 di Seri Negeri di Ayer Keroh kelmarin.

Katanya, peruntukan itu membabitkan RM200,000 bagi penganjuran program e-sukan di negeri itu antara usaha dan inisiatif serta insentif mengembangkan sukan berkenaan selain agenda dalam memacu belia sebagai tonggak masa depan negara.

Dalam sidang berkenaan beliau turut mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak Melaka United yang mara ke separuh akhir Piala Malaysia buat kali pertama sejak 1983.

"Walaupun tewas dengan KL City FC melalui penentuan sepakan penalti, namun sebagai orang Melaka, saya berasa bangga kerana pada malam itu di Stadium Hang Jebat, saya dapat saksikan semangat patriotik luar biasa yang ditunjukkan oleh pemain dan juga penyokong pada perlawanan yang penuh mendebarkan.

"Benarlah kata orang, sukan menyatukan kita, lalu, jomlah kita menyokong pasukan Melaka United dengan beri tepukan penghargaan kepada mereka," katanya dalam dewan berkenaan.

Bajet 2022 Negeri Melaka pada Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Ke-15 berkenaan diluluskan petang kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 6:52 PM