SKUAD bola sepak UiTM meraih emas selepas menewaskan UPSI 2-0. FOTO SUKIPT
SKUAD bola sepak UiTM meraih emas selepas menewaskan UPSI 2-0. FOTO SUKIPT
Affan Rostam


Tanjung Malim: Skuad bola sepak Universiti Teknologi Mara (UiTM) berjaya meraih ibu segala pingat selepas menewaskan Universiti Pendidikan Sultan Idris 2-0 pada perlawanan akhir temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022, malam tadi.

Biarpun turun tanpa kelibat beberapa tonggak utama, ia nyata tidak merencatkan persembahan pasukan kendalian Mohd Yazli Yahaya itu.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium UPSI itu juga menyaksikan kedua-dua pasukan berdepan kesukaran untuk mencari rentak sebenar mereka pada awal permainan disebabkan permukaan padang yang kurang baik akibat hujan lebat.

Bagaimanapun, UiTM berjaya membuka tirai jaringan menerusi tandukan ketua pasukan mereka, Mohamad Azeddy Misra pada minit ke-36 untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Ahmad Najmuddin Ahamd Shafri.

Babak pertama perlawanan berkesudahan tanpa sebarang pertambahan jaringan.

Bersambung babak kedua, UPSI dilihat cuba mengatur beberapa serangan bagi mencari gol penyamaan namun, benteng pertahanan UiTM kekal ampuh untuk menafikan sebarang jaringan.

Gawang gol UPSI sekali lagi dibolosi pada minit ke-86 hasil jaringan Muhammad Faris Hafiz Azhar sekali gus melenyapkan harapan pasukan tuan rumah untuk mencari kemenangan di laman sendiri.

Kapten UiTM, Mohamad Azeddy Misra yang ditemui selepas perlawanan menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menjadi tulang belakang mereka selama ini.

"Pada malam ini (malam tadi), kami tidak memandang mudah dengan pasukan lawan disebabkan mereka sebelum ini memberi saingan sengit kepada kami pada peringkat kumpulan.

"Walaupun sedikit gugup disebabkan sorakan tuan rumah dan permukaan padang yang kurang baik namun kami berjaya mengatasinya.

"Terima kasih kepada jurulatih dan pihak pengurusan kerana menjadi tulang belakang kepada kejayaan kami malam ini. Tidak lupa juga kepada semua penyokong yang hadir," katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Pingat gangsa diraih pasukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) selepas masing-masing bersetuju untuk berkongsi pingat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 11:30 AM