CHEONG Wan menang emas gunshu individu.
CHEONG Wan menang emas gunshu individu.
Syazwan Msar


Ubon Ratchathani: Kem wushu negara 'menghidupkan' kembali hari sendu kontinjen Malaysia apabila berjaya menggenggam dua emas daripada empat acara dipertandingkan hari ini.

Acara yang berlangsung di dewan Menara Sunee menyaksikan Malaysia membawa pulang emas menerusi acara gunshu individu lelaki diwakili Tan Cheong Wan manakala Tammy Tan Hui Ling pula memperoleh tempat pertama dalam kategori jianshu individu wanita.

Cheong Wan mempamerkan aksi mantap untuk memastikan tempat pertama milik Malaysia dengan pungutan 9.65 mata manakala perak dimenangi wakil Singapura Ong Zi Meng (9.63 mata) dan peserta Indonesia Siregar Seraf Naro membawa pulang gangsa (9.6 mata).

Sementara itu, kategori jianshu pula, Tammy diberikan tentangan sengit oleh peserta lain namun berjaya mengekalkan disiplin tinggi untuk membawa pulang emas selepas mengutip 9.67 mata manakala perak pula milik wakil dari Indonesia Mauriskha Nandhira (9.65 mata) dan gangsa dimenangi peserta Singapura Shuen Le Yin(9.63 mata).

Selain membawa pulang dua emas, kem wushu negara turut memenangi masing-masing dua emas dan perak sekali gus menjadi antara sukan cemerlang ketika kejohanan berbaki tiga hari sebelum melabuh tirai.

Pengurus pasukan Sharel Rizwl Dzahari berkata, setakat ini, kem wushu negara sudah membawa pulang tiga emas sekali gus menghampiri sasaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi(KPT).

"Kita menetapkan empat emas daripada kem wushu negara dan setakat ini pada hari kedua sukan terbabit berlangsung sudah melakukan kejutan dengan tiga (emas) menjadi milik Malaysia.

"Kita optimis mampu mencapai sasaran terbabit dan menyamai kejayaan seperti yang dicipta pada edisi AUG 2018 di Myanmar iaitu membawa pulang empat emas, tujuh perak dan empat gangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 2:09 PM