PRESIDEN PESAKA, Tan Sri Mohd Ali Rustam, dan Megat Zulkarnain bergambar bersama atlet kebangsaan dan ahli PESAKA ketika Majlis Iftar PESAKA di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin, Batu Caves. -Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
PRESIDEN PESAKA, Tan Sri Mohd Ali Rustam, dan Megat Zulkarnain bergambar bersama atlet kebangsaan dan ahli PESAKA ketika Majlis Iftar PESAKA di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin, Batu Caves. -Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Sukhairi Thani


JUARA dunia dan pemenang pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 adalah antara tiga pesilat yang digugurkan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) ke Sukan Asia di Indonesia, Ogos ini.

Razak Ghazali yang muncul juara dunia dalam kelas D Putra di Kejuaraan Pencak Silat Dunia di Bali, Indonesia 2016 dan uga pemenang pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) adalah salah seorang daripadanya dan digugurkan atas beberapa faktor termasuk kecederaan.

Mohd Rosli Sharif yang bergandingan bersama Mohd Taqiyuddin Hamid untuk menuai emas dalam kelas Ganda Putra di KL2017 juga digugurkan dan tempatnya digantikan Muhammad Afifi Nordin.

“Salah seorang pesilat kita yang juga juara dunia dan pemenang pingat emas di Sukan SEA terpaksa digugurkan,” kata Setiausaha Agung PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin kepada media selepas majlis Iftar badan induk silat kebangsaan itu, malam tadi.

“Beliau ialah Razak dan penggugurannya itu adalah kerana prestasinya yang kurang meyakinkan atas faktor kecederaan dan keyakinan dirinya tidak begitu tinggi setiap kali memasuki gelanggang.

“Kita juga membuat percaturan, menaikkan Zarish Hakim Shukor daripada kelas C Putra untuk menyertai kelas D bagi mengambil alih tempat Razak. Kita juga menukar pesilat kelas B Putri, Hafizah (Hassan Sabery) dan digantikan dengan Siti Farhanita (Maddin).

“Seorang lagi pemenang pingat emas dalam Ganda Putra di Sukan SEA (KL2017), Mohd Rosli Mohd Sharif juga digugurkan atas masalah disiplin. Biarpun menang emas, itu tidak bermaksud yang kita tidak boleh mengambil tindakan.

“Tempatnya digantikan dengan pesilat tunggal, Muhammad Afifi Nordin untuk berpasangan dengan Taqiyuddin dalam Ganda Putra di Sukan Asia nanti.”

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain turut mengumumkan sasaran PESAKA di Sukan Asia nanti dengan tiga emas, dua perak dan lima gangsa.

“Jika ada lebih daripada itu, kita anggap sebagai bonus kerana kita kena mengambil kira kategori dipertandingkan pada kali ini tidak menyeluruh dan kita hanya menghantar 21 pesilat untuk mengambil bahagian dalam Sukan Asia,” kata Megat Zulkarnain.

Sasaran yang diletakkan PESAKA itu dianggap realistik memandangkan hanya 16 kategori dipertandingkan di Sukan Asia nanti berbanding 21 pingat emas ditawarkan ketika KL2017.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Jun 2018 @ 12:05 PM