ATLET pencak silat negara, Muhammad Izzul Irfan Marzuki selepas menentang atlet dari Indonesia Kadek Andrey Nova Prayada dalam acara akhir kategori Putra bawah 60-65 Kilogram pada Sukan Sea 2023 di Pusat Konvensyen Chroy Changvar hari ini. FOTO Bernama
ATLET pencak silat negara, Muhammad Izzul Irfan Marzuki selepas menentang atlet dari Indonesia Kadek Andrey Nova Prayada dalam acara akhir kategori Putra bawah 60-65 Kilogram pada Sukan Sea 2023 di Pusat Konvensyen Chroy Changvar hari ini. FOTO Bernama


Phnom Penh: Pesilat negara membuktikan mereka kembali ke landasan yang betul selepas meraih empat emas di Sukan Sea Kemboja walaupun banyak menampilkan muka baru.

Sebelum ini mereka berada di bawah tekanan hebat selepas persembahan buruk di Sukan Sea Vietnam 2021 apabila hanya membawa pulang dua emas sekali gus gagal menepati sasaran tiga emas disebabkan faktor kecederaan dan pengadilan meragukan.

Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, beliau berpuas hati dengan pesilat negara selepas acara berkenaan berakhir di Pusat Konvensyen Chroy Changvar semalam.

Pasangan kembar, Muhammmad Danial Azray Noorazizan dan Muhammmad Danial Azrol meraih emas ganda silat seni lelaki pada penampilan sulung mereka di temasya berkenaan.

Norsyakirah Muksin pula turut meraih emas dalam kela bawah 45 kilogram (kg) putri, manakala Nor Farah Mazlan turut cemerlang dengan meraih pencapaian sama bagi kelas bawah 50kg putri.

Seorang lagi pesilat yang kali pertama beraksi di Sukan Sea, Muhammad Izzul Irfan Marzuki meraih emas dalam kelas bawah 65 kg.

Megat Zulkarnain berkata, pengorbanan yang dilakukan oleh para atlet menyaksikan mereka memberikan lebih daripada sasaran dua emas.

"Saya sangat gembira dengan prestasi pasukan yang sangat terpuji... Ia bukan sahaja daripada pemenang pingat emas tetapi juga daripada mereka yang tewas awal.

"Mereka memberikan segalanya dalam perlawanan masing-masing, contohnya, Farah mengalami patah tulang sehari sebelum pertandingannya.

"Bagaimanapun, dia membuktikan tiada yang mustahil dan berjaya meraih kemenangan... Norsyakirah juga mempunyai perjuangan tersendiri, datang daripada keluarga yang berdepan masalah kewangan," kata Megat Zulkarnain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 2:58 PM