SHAHIDAN (dua dari kanan) berkata, setiap atlet perlu meletakkan matlamat dan beliau yakin matlamat itu mampu untuk dicapai. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
SHAHIDAN (dua dari kanan) berkata, setiap atlet perlu meletakkan matlamat dan beliau yakin matlamat itu mampu untuk dicapai. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tanpa berselindung Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang baru, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mahu barisan atlet sukan itu membawa pulang 10 pingat emas pada temasya Sukan Sea Kemboja tahun depan.

Ia adalah sasaran sekali ganda buat skuad negara yang sebelum ini hanya meraih lima emas, tiga perak dan lapan gangsa ketika di Sukan Sea Hanoi bulan lalu.

Ia laungan keyakinan yang disuarakan oleh Shahidan ketika beliau turun padang buat kali pertama bertemu dengan barisan atlet negara di trek olahraga di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil semalam selepas bergelar presiden baru KOM bagi penggal 2022/2025.

Shahidan berkata, setiap atlet perlu meletakkan matlamat dan beliau yakin matlamat itu mampu untuk dicapai.

"Saya cakap perkara ini sebab saya yakin sebab kita mempunyai ramai atlet cuma prestasi mereka tak beberapa bagus. Jadi kita kena usaha sikit dan kena yakin.

"Jangan putus harapan sebab daripada 41 pingat emas yang ditawarkan dan kita pula tak buat apa-apa itu satu benda yang tidak wajar.

"Kita letakkan matlamat dulu dan kemudian kita usaha untuk capai. Pandangan negatif yang tak percaya itu kita betulkan dan kita lihat masa pertandingan nanti," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, beliau turut menyarankan untuk kuartet 4x400m kembali dibentuk dan mengembalikan zaman kegemilangan itu ketika mereka meraih kejayaan di Korat.

Shahidan semalam mengadakan pertemuan bersama hampir 200 atlet di padang latihan MSN berkata, beliau gembira dapat kembali bersama atlet olahraga negara dan bersama-sama mencapai matlamat yang lebih tinggi.

"Saya gembira melihat semangat juang mereka. Mari kita sama-sama letakkan matlamat untuk dicapai.

"Insya-Allah saya akan berada di sini (trek latihan MSN) dari masa ke semasa mungkin seminggu atau dua minggu sekali untuk memerhatikan mereka berlatih.

"Saya bukan saja memerhati mereka berlatih tapi saya nakkan keputusan yang positif," katanya.

Shahidan kembali menerajui selepas memenangi pemilihan jawatan presiden, dalam pertandingan satu lawan satu dengan menewaskan penyandang jawatan, Datuk SM Muthu.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini pernah menerajui badan induk itu pada 2006 hingga 2012 tetapi terpaksa melepaskan jawatan berkenaan selepas tewas di tangan Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam pemilihan bagi penggal 2013-2015.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2022 @ 3:39 PM