BEKAS pelari pecut negara, Nazmizan. -FOTO NSTP
BEKAS pelari pecut negara, Nazmizan. -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bekas jaguh pecut negara, Nazmizan Mohamad akui kecewa dengan 'drama' terbaharu membabitkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang tak pernah berhenti sebaliknya sudah memasuki ratusan episod yang cukup membosankan.

Jelas Nazmizan, isu terbaharu dakwaan Presiden Persatuan Olahraga Perak (POP), Datuk Karim Ibrahim terhadap Presiden KOM, Datuk SM Muthu perlu dihentikan dengan kedua-dua tokoh harus tampil menerangkan perancangan untuk memajukan sukan olahraga.

"Isu KOM ini tak pernah habis, dari dulu macam inilah. Lebih-lebih lagi bila nak dekat pemilihan AGM (mesyuarat agung tahunan) akan ada saja dakwaan yang tiba-tiba muncul.

"Dulu masa Datuk Karim jadi Presiden pun, ada juga yang tuduh beliau salah guna kuasa juga. Jadi pada saya, hentikanlah dan cuba tolong bangunkan sukan ini dengan harmoni.

"Patutnya beliau (Karim) tunjuk macam mana perancangannya nak naikkan olahraga di peringkat akar umbi. Datuk Muthu pula kena tunjukkan manifesto untuk bertanding jawatan Presiden.

"KOM perlukan perancangan yang jitu dan suntikan dana kewangan untuk naikkan semula sukan ini. Sudahlah, baik bertenang dan buat perancangan daripada nak cari salah orang saja," katanya ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Semalam, Karim mendakwa Muthu menyalahguna kuasa dengan menolak pencalonan Nurhayati Karim untuk bertanding jawatan Naib Presiden apabila menggunakan klausa 8.7.1 Perlembagaan KOM.

Sementara itu, mengulas pertembungan Muthu untuk jawatan Presiden KOM yang bakal dicabar oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim, Nazmizan yang juga pemenang pingat emas acara 100 meter dan 200 meter Sukan Sea Vietnam pada 2003 lalu berkata, kedua-dua tokoh itu memiliki kekuatan tersendiri.

Namun baginya, perkara paling penting adalah pemimpin itu harus rajin turun padang selain membuka peluang lebih ramai bekas atlet negara menyumbang semula kepada KOM.

"Shahidan dulu pun pernah pegang KOM dan Muthu adalah Presiden sekarang. Tapi apa yang kita mahu mereka kena selalu mendengar suara atlet dari bawah kerana mereka juga ada pandangan yang boleh bantu naikkan sukan olahraga," katanya.

Untuk rekod, Shahidan pernah mengemudi badan induk itu dari 2006-2012 sebelum terpaksa melepaskan jawatan berkenaan selepas tewas di tangan Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam pemilihan bagi penggal 2013-2015 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2022 @ 3:00 PM