LEGENDA sepak takraw negara, Rehan Mohammad Din meninggal dunia malam tadi. FOTO ihsan FB MSN
LEGENDA sepak takraw negara, Rehan Mohammad Din meninggal dunia malam tadi. FOTO ihsan FB MSN
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Negara kehilangan legenda sepak takraw awal 1980-an, Rehan Mohammad Din yang menghembuskan nafas terakhir pada 8.40 malam tadi di rumah ibunya, Felda Air Tawar 3, Kota Tinggi, Johor.

Menurut anak bongsunya, Mohd Syahir Hazmi, Allahyarham bapanya yang berusia 54 tahun meninggal dunia akibat sesak nafas dan jangkitan kuman pada paru-parunya.

Syahir berkata, ayahnya yang juga pemenang dua pingat emas berpasukan dan antara regu di Sukan Asia Beijing 1990 itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Air Tawar 3, hari ini.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Noor Masita Amir dan enam anak Noor Aliya Basirah, Mohd Syabil Hanif, Mohd Syafiq Haziq, Mohd Syafie Hazim, Mohd Syahir Hazmi dan Noor Afiqah Bazilah.

Pada 14 Jun 2020, legenda sepak takraw negara itu selamat menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Selain dua pingat emas di Sukan Asia, Rehan yang menyarung jersi negara dari 1987 hingga 1992 turut menghadiahkan dua pingat emas di Sukan Sea Manila 1991.

Beliau pernah dilantik sebagai penolong jurulatih skuad wanita negara dalam Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Rehan dilahirkan pada 28 Julai 1967 di Johor Bahru, Johor, pernah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Petronas.

Allahyarham bersama Azman Ismail dan Abdul Malik Samsudin berjaya merampas Piala Raja Thailand daripada musuh tradisi Thailand pada 1988 selain memenangi pingat emas antara regu Sukan Sea Kuala Lumpur 1989 dan Pesta Sukan Merdeka Brunei 1990.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 9:03 AM