BERNAL tidak sabar untuk memperkuatkan pasukannya, Ineos Grenadiers. FOTO AFP
BERNAL tidak sabar untuk memperkuatkan pasukannya, Ineos Grenadiers. FOTO AFP
AFP

Bogota: Selepas enam minggu apabila kira-kira 20 tulangnya patah, pelumba berbasikal Colombia, Egan Bernal kembali berlatih dengan pasukannya berharap dia mampu beraksi dalam saingan kompetitif musim ini.

Juara Tour de France 2019 dan Giro d'Italia 2021 itu melanggar bahagian belakang bas ketika mengayuh dengan kelajuan 62 kilometer/jam Januari lalu.

"Teka siapa yang sudah kembali dengan basikalnya dan berasa sangat selesa. Selagi percaya pada diri sendiri, semuanya boleh. Dan saya ingin memberitahu anda bahawa apabila anda benar-benar mahukan sesuatu, tiada yang mustahil," kata Bernal.

Bernal berkata dia 'hampir meninggal dunia' selepas melanggar bahagian belakang bas.

Pelumba berusia 25 tahun itu patah 11 tulang rusuk, tempurung lutut, tulang paha, dua tulang belakang dan ibu jari, serta ada tulang yang menusuk di kedua-dua paru-parunya.

Polis trafik berkata dia 'sangat fokus' sehingga dia tidak mendengar jeritan amaran daripada rakan sepasukannya bahawa bas di hadapannya sedang berhenti.

Dia menjalani lima kali pembedahan, dan dibenarkan keluar dari Klinik Universiti La Sabana, di pinggir Bogota, selepas dua minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 2:49 PM