BERNAL menyarung jersi merah jambu. FOTO AFP
BERNAL menyarung jersi merah jambu. FOTO AFP
AFP

Campo Felice (Rocca di Cambio), Itali: Pelumba Colombia, Egan Bernal muncul pendahulu keseluruhan selepas memecut meninggalkan pencabarnya untuk menjuarai peringkat kesembilan Giro d'Italia sejauh 158km semalam.

Ketua Ineos itu yang juga juara Tour de France 2019 memisahkan dirinya daripada kelompok pelumba lain di kawasan pergunungan dengan pencabar utama hanya mampu memerhatikan tindakan itu.

Ia kemenangan peringkat pertama Bernal di Grand Tour dan dilakukannya dengan bergaya.

"Saya menjadi sangat emosi selepas diberitahu saya adalah pemenang," katanya.

Giulio Ciccone meraih tempat kedua dengan tujuh saat di belakang dan Alexandr Vlasov ketiga juga dengan catatan sama. Remco Evenepoel dan Dan Martin ketinggalan 10 saat di belakang dan Romain Bardet 12 saat.

Pelumba Britain, Simon Yates sekali lagi kehilangan beberapa saat tetapi masih lagi berpeluang menerusi baki 12 peringkat yang sukar.

Bernal berusia 24 tahun berdepan kecederaan belakang yang memaksanya melupakan Tour de France tahun lalu dan menghadkan penyertaannya sejak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 12:08 PM