Aksi Egan Bernal ketika menyertai jelajah perlumbaan. FOTO Agensi
Aksi Egan Bernal ketika menyertai jelajah perlumbaan. FOTO Agensi
AFP

Paris: Egan Bernal meletakkan sasaran untuk kembali ke jelajah Tour de France (TdF) selepas pasukan lumba basikal yang berpangkalan di Britain, Ineos mengumumkan dia menandatangani kontrak baharu selama lima tahun bersama kelab itu.

Bernal dari Colombia, yang menjadi pelumba Amerika Selatan pertama menjuarai TdF pada 2019, kini mengikat kontrak bersama kelab itu sehingga penghujung musim 2026.

Pelumba berusia 24 tahun itu terpaksa menamatkan pemburuan mempertahankan kejuaraan acara TdF pada penghujung 2020 selepas mengalami kecederaan belakang.

Bernal mengetepikan jelajah 2021 selepas melakar kejuaraan di Giro d'Italia tetapi dia mahu kembali bersaingan memburu kejuaraan tahun ini selepas melanjutkan perjanjian bersama Ineos.

"Saya benar-benar mahu kembali dalam jelajah itu," katanya.

"Saya terlepas aksi tahun lalu kerana perlumbaan Giro, namun ia terasa seperti terlalu lama sejak kali terakhir menyertai jelajah itu. Jadi saya sangat teruja mengenai tahun ini."

Bernal sudah empat musim bersama Ineos yang sebelum ini dikenali Team Sky, sejak menyertai mereka dari Androni Giocattoli.

Dia adalah pemenang termuda TdF sejak 1909 ketika dia melakar kejuaraan tiga tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 9:46 AM